Selasa, 12 Mei 2009

Bakat, Upaya dan Genius #1

Beberapa hari lepas, aku ada berbincang mengenai bakat dan genius dengan seorang sahabat. Ada beberapa persoalan mengenai perkara tersebut yang kami kupas bersama. Dan di sini, aku ingin menulis sedikit idea aku berdasarkan pengalaman hidup selama 20 tahun Masihi dan dari sedikit pembacaan.

Apa itu bakat dan apa itu genius?

Bagi aku, bakat adalah kebolehan untuk memanfaatkan apa yang ada. Sebagai contoh, orang yang berbakat dalam memasak. Dia akan memanipulasikan segala bahan yang ada, kalau tiada, dia akan berusaha untuk mencari alternatif kepada bahan tersebut untuk mendapatkan hasil yang serupa jika ada bahan tersebut. Tak ada santan, dia gunakan susu misalnya. Aku pernah terjumpa seorang pelukis yang berbakat dapat menghasilkan lukisan yang lawa dengan menggunakan 3 batang pensil warna. Lebih cantik daripada aku yang gunakan 12 batang pensil warna.

Bakat memerlukan keupayaan. Paling kurang pun seminimum yang mungkin. Kita dapat katakan bahawa Ronaldinho itu sangat berbakat dalam bola sepak. Cuba anda potong sebelah saja kaki beliau, dapatkah beliau menggelecek 4-5 orang pemain lawan? Atau kita suruh seseorang yang mempunyai bakat melukis dengan kita bekalkan hanya sekeping kertas? Mampukah dia menghasilkan masterpiece seumpama Monalisa dengan air liur? Jelas di sini bahawa bakat memerlukan keupayaan.

Apa itu genius?

Suka aku ambil pendapat seorang ilmuwan, Immanuel Kant mengenai takrif genius. Beliau berpendapat bahawa genius itu adalah dapat memahami sesuatu konsep dengan sendiri dan kefahaman individu yang genius tersebut adalah sama dengan orang yang diajar orang lain mengenai konsep tersebut. Dan bagi aku, genius itu adalah kebolehan menganalisis dengan maklumat yang ada dan menghasilkan idea yang mantap.

Sebelum itu, bagi aku tahap ilmu ada 3 iaitu secara permukaannya adalah pengetahuan am, seterusnya praktikal dan yang lebih mendalam sekali adalah falsafah atau konsep itu sendiri. Orang genius adalah mereka yang dapat mencapai tahap yang dalam sesuatu ilmu bukan hanya memandang ilmu sebagai satu pengetahuan am atau praktikal semata-mata. Pernah aku terdengar ada ahli Matematik yang merasakan bahawa angka-angka itu sebenarnya 'hidup' dan ada yang mendakwa 'menjumpai' Tuhan dalam Matematik. Mungkin sebab itu ahli falsafah kebanyakannya genius seperti Ibn Sina dan Al-Ghazali.

Apa beza bakat dan genius?

Aku petik sikit pendapat Arthur Schopenhauer, seorang ahli falsafah Jerman,

''Talent hits a target no one else can hit; Genius hits a target no one else can see.''

Bermaksud, orang yang berbakat dapat mencapai target yang orang lain tak dapat capai tetapi genius dapat mencapai target yang orang tak nampak. Aku dapat buat beberapa kesimpulan berdasarkan pernyataan tersebut.

Bakat memerlukan keupayaan. Sangat-sangat memerlukan. Contohnya aku tak pandai masak. Secara praktikalnya, aku tahu bagaimana orang memasak. Cuma disebabkan aku malas memasak, aku tak ada kemahiran itu. Dan jika aku dilatih hari-hari maka aku akan biasa memasak. Bila aku dah biasa memasak, aku akan dapat keupayaan. Dan anda boleh memanggil aku Chef Guntur.

Tetapi, hal ini berbeza dengan genius. Nampak apa yang orang lain tak nampak. Mungkin konsep itu sendiri. Dan kebiasaannya orang genius itu berbakat. Ya, orang genius dan berbakat sama-sama dapat mencapai target, tetapi orang yang berbakat belum tentu dapat melihat apa yang orang genius nampak.

Pada hakikatnya, genius itu adalah bakat.

Adakah bakat diwarisi?

Bakat itu sinonim dengan kecekapan. Manakala genius itu adalah bakat(boleh baca: kecekapan) dalam menganalisis. Kecekapan itu berkait rapat dengan saraf dan otak. Jadi aku kena cerita sedikit sebanyak mengenai kecekapan dari sudut neurologi.

Aku kena beritahu sedikit fakta. Sel saraf adalah satu-satunya sel yang tidak membahagi dalam badan manusia. Sel-sel saraf berhubung antara satu sama lain dengan synapse. Apabila sesuatu pekerjaan itu diperlukan, sel-sel saraf akan 'sedar' akan kepentingan hubungan antara sel-sel saraf yang terlibat dalam melunaskan pekerjaan tersebut. Justeru, synapse perlu diwujudkan sebagai integrasi antara sel-sel tersebut.

Nampaknya ayat aku dah mula berbelit. Jadi aku kena buat contoh supaya lebih mudah difahami. Pelukis menggunakan satu bahagian otak yang mengawal bahagian pergerakan yang memerlukan kemahiran. Yang mengawal tangan misalnya. Jadi sel-sel saraf yang mengawal pergerakan tangan akan menitik beratkan hubungan antara mereka. Dan synapse dibentuk untuk menghubungkan antara mereka bagi melancarkan gerak kerja dan kecekapan pelukis itu untuk melukis. Mungkin kali pertama melukis terasa kekok, tetapi jika dilazimi setiap hari bertambah menjadi cekap. Boleh baca pendapat lain di sini.

Nampaknya persoalan 'Adakah bakat diwaris?' tak dapat dijawab di sini. Nantikan sambungannya dalam artikel seterusnya. Sudi-sudikanlah diri memberi pendapat. Selamat.

4 komentar:

naqiubex mengatakan...

Saya juga pernah mengetahui ttg seorang genius dalam lukisan. Apa yang memelikkan saya ialah dia tidak suka melukis walaupun dia mendapat sara hidupnya dari kebolehan tersebut.

Orang selalu berkata saya berbakat dalam lukisan tetapi saya selalu berkata pada mereka. Ini bukan bakat tapi hasil usaha saya sejak dari kecil.

Saya berkata lagi, semua orang boleh melukis. Apa yang penting adalah kesabaran dan 'Passion'.

guntur mengatakan...

Terima kasih atas komen Saudara Naqiu yang saya kira merupakan isi kepada artikel saya yang seterusnya.

Saudara telah menimbulkan persoalan, 'Adakah bakat itu didapati sejak lahir' dan 'Adakah bakat itu boleh diperolehi dengan usaha?'.

Apa yang saudara maksudkan tentang bakat? Adakah berkaitan dengan kecenderungan seseorang terhadap sesuatu perkara?

InsyaAllah saya akan jawab dalam artikel yang seterusnya.

h a r i z, H mengatakan...

kalau macam tu, secara konfemnya kita tak dapat menyebut seorang pelajar medik adalah genius. betul atau tidak? kerana mereka secara pastinya bergantung kepada lecture dan buku-buku. kerana mereka belajar mengenai fakta.

bukan belajar untuk menganilisis secara amnya. betul atau salah?

jadi persoalan seterusnya, bagaimana untuk kita mengenal potensi diri kita? bakat dan kegeniusan kita? kerana saya pasti, kita semua sudah tidak pasti,yang mana bakat, yang mana diusahakan dan yang mana kegeniusan. belum cuba belum tahu. budak yang pandai berjalan perlu bertatih. adakah tidak wujud si genius atau si bakat berjalan kaki?kerna yang tak digilap pasti pudar, yang ditonyoh pasti bercahaya. bukan?


dan persoalan tambahan, adakah perlu sebenarnya untuk kita menjadi genius?

guntur mengatakan...

aku jawab satu je soalan kau dulu

perlukah menjadi genius?

menurut sumber dari zulai,seorang profesor us telah berkata

''org yang dilahirkan tanpa bakat adalah sampah''

dalam hidup kita ada tujuan,ada perkara sampingan yang perlu ada untuk menyokong kita mencapai tujuan.kalau sekadar makan minum tidur memang tak perlukan bakat la.

tapi perkara yg lebih rumit perlukan belajar.perlukan masa untuk pandai.di sini genius penting supaya kita dapat menjimatkan masa menguasai perkara2 tersebut.dan masa yg ada kita dapat menguasai benda lain atau berdakwah.

ni pulak kata2 aku

''orang genius yang tak usaha cari kebenaran dan tak faham tujuan hidup adalah sampah''