Jumat, 06 Maret 2009

Lelaki Tua dari al-Quds

''Aku sampai sekarang tak tahu ayah dan mak aku masih hidup atau tidak,'' kata Pak Cik Mamduh.

Dia masih ingat. Ketika ''Perang 6 Hari'' berlaku pada 1967, dia berada di Kuwait. Berhijrah mencari rezeki di tempat yang lebih aman berbanding al-Quds, tanah kelahirannya. Saat al-Quds kucar-kacir atau kuca-lana dalam dialek Kelantannya, keluarganya masih berada di sana. Tentera Israel bertempur dengan tentera dari beberapa buah negara Arab. Cukup membimbangkannya. Hatinya meronta-ronta ingin kembali ke bumi yang dicintainya itu. Biarlah dia mati mempertahankan tanah milik bangsanya dan umat Islam, daripada menyorok takutkan peluru musuh. Bak kata penyair,''Hidup biar bermaruah atau mati syahid''. Namun, keadaan tidak mengizinkan.

Lantas, dia mengambil keputusan berhijrah ke Mesir. Ramai saudara-maranya tinggal di sana. Sekurang-kurangnya dapat mengubat kerinduan terhadap keluarga sendiri. Hari berganti hari. Dia membuat keputusan untuk berkelana seorang diri di Jordan. Lebih dekat dengan al-Quds, negeri kelahirannya. Hanya berjarak 40km sahaja. Dari Gunung Nebo yang menjadi tempat suci orang Kristian, al-Aqsa dapat dilihat.

Kini, dia sudah tua. Namun, masih tidak tahu ibu bapanya masih hidup atau tidak. Menurut kajian, purata usia kematian penduduk Jordan adalah 70 tahun. Dia kini berusia 60 tahun dan ibu bapanya menjejak usia 90 tahun barangkali. Walau apapun, dia tak lupa untuk mendoakan kesejahteraan mereka, hidup ataupun mati.

Dia kini menghabiskan sisa-sisa hidup di utara Jordan. Tak keluar pun ke tempat lain. Hanya berulang-alik dari rumah ke masjid saja yang menjadi rutin hidupnya. Dia tiada anak. Kasih sayang dan luahan perasaannya sering dicurahkan kepada pelajar-pelajar berbangsa Melayu di situ, dari Malaysia dan juga Patani.

''Kau tahu Sheikh Nabulsi cakap apa hari ini?''

Ayat itu seringkali diulang-ulang. Mujur ada seorang anak Melayu yang rajin mendengar dan berbual dengannya biarpun terpaksa berdiri menunggunya habis bercakap biarpun terpaksa menahan sejuk hembusan angin dingin. Kadangkala sehingga setengah jam dia bercakap.

Dia memang meminati Sheikh Muhammad Ratib an-Nabulsi, ulama yang tinggal di Dimashq itu. Setiap minggu, dia mendengar syarahan ulama itu dalam rancangan radio channel ''Shout Dimashq''. Baginya, sheikh itu seorang yang hebat. Selain mendapat Phd dalam Bahasa Arab, beliau juga mempunyai pengetahuan sains yang luas. Rajin membaca dan bertanya, barangkali. ''Pengetahuan yang seluas dan sedalam laut,'' katanya.

Kadang-kadang, beliau bercerita tentang sejarah Arab dan Islam kepada kawan baiknya itu. Sejarah Uthmaniyyah mahupun sejarah al-Quds dikongsikan juga. Biarlah orang 'ajam yang mengenang dan menghargai sejarah bangsanya. Sekurang-kurangnya dinilai dari sudut Islam bukan dari Nasionalisme Arab.

Waktu Ghaza diserang, hatinya tambah pedih. Remuk dan berkecai. Zalim sungguh tentera Yahudi yang membantai penduduk Ghaza. Namun, lebih zalim lagi saudara-saudara mereka yang membiarkan bahkan membantu musuh mereka menzalimi saudara sendiri. Tak mungkin tubuh tuanya berkudrat mengangkat senjata. Hanya doa yang dititip buat mereka dan boikot untuk melemahkan musuh.

Dia begitu rindu dengan al-Quds. Dia sentiasa berharap agar dapat kembali ke al-Quds. Melihat tanah kelahirannya dikuasai oleh umat Islam. Harapannya tak pernah putus.

Yerushalayim shel zahav. Al-Quds bumi emas menurut lirik lagu Ofra Haza.

Tamat.

p/s Maaf kalau membosankan.



2 komentar:

princess kacang mengatakan...

aku suke post nih.=)

guntur mengatakan...

kau budak medik mana?