Sana-sini bercakap tentang PPSMI.
Ada yang menyokong, ada yang menentang.
Tak kurang juga yang tak peduli.
Ada yang berdemo, ada yang berbalah.
Ahli-ahli bahasa dan sastera kebanyakannya menentang.
Budak-budak sekolah ada yang setuju, ada yang membantah.
Sama juga dengan guru-guru.
Izinkan hamba menulis mengenai perkara ini dari kaca mata generasi kedua terakhir yang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda kita.
Isu martabat.
Setelah 4 tahun meninggalkan alam persekolahan, selama tempoh itulah kami meninggalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Buku rujukan dalam Inggeris, nota-nota pun dalam Inggeris dan kuliah pun dalam bahasa Inggeris. Ada di antara kami yang apabila mendengar istilah sains dalam bahasa Melayu, aruhan elektromagnet misalnya, akan terasa unsur humor. Terasa janggal dan asing ketika mendengarnya. Dan banyak istilah sains dalam bahasa Melayu yang kami lupakan. Perkumuhan dianggap berkumur dan banyak lagi contoh yang sadis. Alangkan kami yang belajar dalam Melayu pun begini, apatah lagi adinda-adinda kami yang belajar Sains dan Matematik dengan lidah bekas penjajah itu.
Tatkala bonda hamba mengirim bungkusan dari tanah air, yang ada di antara kandungan bungkusan itu adalah majalah esti dot com, teman-teman hamba kebanyakan teruja. Umpama hamba membawa bekalan makanan ke gurun-gurun di Sudan. Bagi sesiapa yang tidak tahu, majalah esti dot com itu adalah majalah saintifik yang menggunakan bahasa Melayu. Majalah percuma dan gratis sisipan akhbar Utusan Melayu. Cukup teruja hinggakan hamba tak tahu di mana letaknya majalah tersebut kini.
Lantas, hamba terfikir, kalaulah pihak media memperbanyakkan majalah seperti ini, insyaAllah kami akan menyokong. Alangkah moleknya kalau jurnal-jurnal diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Mungkin lebih hangat daripada kisah-kisah mistik dan gosip majalah-majalah tempatan yang lain. Ya, di kuliah belajar dalam Inggeris di rumah membaca dalam Melayu. Dua-dua berhasil.
Hamba pun terfikir lagi, adakah dengan hanya 2 subjek yang ditukar ke dalam Inggeris mampu menurunkan martabat bahasa Melayu? Bagaimana dengan generasi kami ini?
Isu kefahaman.
Ada yang beralasan, ''Hamba pelajar luar bandar yang naif dan jahil dalam bahasa Inggeris. Lainlah pelajar bukan Melayu. Mereka amat fasih dalam bahasa Tamil, eh, bahasa Inggeris.''
Dan 1001 alasan lain. Yang menjadi alasan kedua yang datang selepas isu martabatkan bahasa Melayu.
Ada di antara teman-teman hamba yang datang dari sekolah kebangsaan aliran Melayu dan menadah ilmu di sekolah menengah aliran Arab. Mereka diletakkan dalam kelas peralihan selama setahun untuk memantapkan bahasa Arab bagi melancarkan pengajian subjek-subjek agama dalam bahasa Arab. Dan mereka berjaya walaupun kebanyakan mereka lebih tua daripada hamba. Tapi tak mengapa. Biar lambat,asal pandai.
Jangan jadikan alasan tinggal di luar bandar sebagai penghalang kepada tuan hamba untuk mempelajari bahasa Inggeris. Sedangkan orang asli pun boleh berbahasa Inggeris dengan lancar. Orang-orang lama yang tinggal di kampung waktu zaman tiada televisyen pasca merdeka pun boleh membaca novel Inggeris. Tak perlu pun fasih seperti orang putih, asalkan tuan hamba boleh faham dan itu memadai.
Waktu hamba mula-mula menjejak ke alam universiti, hamba berasa sedikit sukar. Membiasakan diri dengan bahasa pengantar Inggeris berbanding Melayu ketika bersekolah dahulu. Kadang-kadang hamba kurang jelas dan kurang faham dengan syarahan doktor-doktor yang menggunakan bahasa Inggeris lahjah tempatan. Ketika mengulangkaji pelajaran, hamba lebih banyak menyelak kamus berbanding menyelak buku pelajaran. Dan kini hamba sudah dapat membiasakan diri walaupun bahasa Inggeris hamba tak semantap mana. Hamba tak mahu adinda-adinda sekalian melalui zaman kesukaran seperti hamba.
Bahasa Inggeris kini menjadi bahasa utama dunia. Dan ambillah peluang memantapkan bahasa mereka untuk menceduk ilmu-ilmu dari mereka. Untuk memantapkan bangsa dan agama kita. Dalam waktu yang sama, kita tak lupa untuk memartabatkan dan mencintai bahasa ibunda kita. Pesan Tun Dr Mahathir, ''Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa''. Lepas ini, jangan katakan hamba ini penjilat jubur kerajaan. Hamba memandang dari sudut neutral.
Teringat pesan orang tua dari Tanah Arab, ''Sesiapa yang belajar bahasa sesuatu kaum, maka terselamatlah dari kejahatan mereka''.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
4 komentar:
you can ask the system to give you a good output without agood input.....
what's the point?
that words sounds familiar, but seems to contradict the concept of Quality Assurance Cycle in ethics.
Anyway,we don't have to control the input.Thus,we are not responsible for the output.
We can give them feedback.Just feedback.
Thanks.
Posting Komentar