Kamis, 19 Februari 2009

Sedikit Cerita-Evolusi

Pada kebiasaannya, setiap batch pelajar perubatan di universiti tempat aku belajar akan menubuhkan summarizing group. Sukarelawan dalam grup tersebut kebanyakannya pelajar Arab manakala kami, pelajar Melayu hanya menumpang sahaja. Fungsi grup tersebut adalah merakam syarahan daripada doktor-doktor dan kemudiannya menyalin kembali apa yang diperkatakan oleh doktor tersebut. Mereka akan meletakkan nota tersebut di dalam laman web rasmi grup supaya dapat dimuat turun oleh pelajar lain. Bukan saja nota-nota mereka, malah slaid dan ringkasan dari doktor turut diletakkan di situ. Terima kasih buat kalian walaupun kadangkala aku mengetawakan bahasa Inggeris kalian yang melucukan(macamlah aku pandai sangat Inggeris).

Kadang-kadang mereka akan selitkan tazkirah atau dedikasi buat sahabat-sahabat mereka di ruangan akhir nota yang ditulis. Selalunya dalam bahasa Arab atau Arabiziy(Arabiy+Ingliziy=bahasa Arab yang ditulis dalam huruf latin).

Tamat kisah mengenai summarizing group. Namun, dalam banyak-banyak nota yang ada, ada satu selingan di akhir nota yang ditulis yang menarik minat aku iaitu mengenai evolusi dan Islam.

Apa katanya?

Menurutnya beruk itu berasal daripada manusia berdasarkan al-Quran seperti yang termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 65.

[2:65]
Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang-orang yang melanggar di antaramu pada h ari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".

Ayat tersebut mengisahkan kaum Nabi Musa yang melanggar larangan menangkap ikan pada hari Sabtu yang dikhususkan untuk beribadah. Maka, mereka disumpah menjadi beruk.

Menurutnya lagi, banyak pendapat ulama' tafsir mengenai ayat tersebut. Ada yang berpendapat bahawa beruk-beruk tersebut tidak hidup lama selepas disumpah dan tidak membiak dan ada juga yang berpendapat bahawa beruk tersebut hidup dan membiak. Penulis lebih cenderung dengan pendapat kedua dan berpendapat bahawa beruk-beruk yang ada adalah keturunan daripada kaum yang disumpah tersebut.

Memang secara genetiknya, DNA beruk adalah lebih kurang 90 peratus sama dengan DNA manusia. Manakala, menurut teori evolusi Darwin, manusia dan keluarga beruk berkongsi moyang yang sama. Semua ini berdasarkan DNA, bentuk tengkorak dan sebagainya.

Ada satu lagi ayat yang dibincangkan iaitu surah al-Maidah ayat 60.

[5:60]
Katakanlah: Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul.

Aku pun tak berapa jelas mengenai peristiwa di sebalik ayat tersebut, manusia yang disumpah menjadi beruk dan khinzir. Sesiapa yang ada maklumat, bolehlah tulis di ruangan komen.

Namun, menurut kajian, haiwan yang paling sesuai untuk dilakukan transplant jantung adalah khinzir kerana jantung khinzir paling mirip dengan manusia.

Sesiapa yang ada maklumat tambahan atau pembetulan untuk maklumat yang salah, aku sangat berharap agar ditulis di ruangan komen. Entri aku cumalah kupasan dari pendapat orang lain dan hanyalah sekadar pencetus idea.



Tidak ada komentar: