Rabu, 25 Februari 2009

Mencari Tujuan Hidup

Anda seorang pelumba kereta. Biarpun anda seorang pelumba yang hebat, adakah anda berasa tenang jika anda tidak mengetahui di manakah garis penamat? Tenangkah anda jika anda tidak tahu berapa pusingan yang anda harus lakukan?

Atau.

Anda seorang pelajar yang akan mengambil peperiksaan. Bolehkah anda berasa tenang jika anda tidak tahu di manakah dewan yang sepatutnya anda pergi untuk mengambil peperiksaan? Tenangkah anda jika anda tidak mengetahui waktu bila peperiksaan bermula?

Ya. Itulah manusia. Sentiasa tertanya-tanya dan mencari arah hidup. Bukan seperti khinzir. Hidupnya membabi buta. Merempuh, menyondol apa yang di depan mata.

Seperti Isaac Newton. Dikatakan lebih banyak menulis tentang agama daripada sains. Seperti ahli sains yang lain. Manusia yang berfikir, setidak-tidaknya akan berfikir sebab dan arah hidup mereka. Ya. Tujuan hidup ada dalam agama. Tidak kira benar atau tidak, sekurang-kurangnya dengan agama, manusia itu tahu apa sasaran dan tujuan hidupnya.

[23:115]
Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?


Menurut seorang kenalan, Ibnu Sina langsung meninggalkan dunia perubatan untuk beralih kepada ilmu falsafah. Mempunyai tujuan yang sama. Mencari tujuan hidup.

Dr Francis Collins yang pada asalnya Kristian dan menjadi atheist. Mula mengkaji pelbagai agama setelah berdepan dengan ramai pesakit yang mati. Memilih untuk kembali kepada ajaran Kristian. Kerana tertanya-tanya tujuan hidup.

Bak kata Karl Marx,

''...
It is the opium of the people...''

''Ia(agama) adalah candu manusia.''

Memang agama candu manusia. Ada candu yang dapat melegakan sakit manusia. Analgesik. Ada yang mengkhayalkan dan menipu manusia. Bergantung. Allahu a'lam.

Manusia memang 'sakit'. Betapa peritnya hidup. Carilah penawar untuk sakitmu. Aku kadangkala berasa sakit dan perit. Mungkin kadangkala aku jauh daripada agama.

Bak kata penyair Farsi,

''Setiap yang berakal pasti akan menderita.''

Mari kita hayati kisah pencarian Nabi Ibrahim.


[6:74]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.

[6:75]
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi dan supaya menjadilah dia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

[6:76]
Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: Inikah Tuhanku? Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.

[6:77]
Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: Inikah Tuhanku? Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat.

Moga kita bertemu dan mencapai tujuan kita.

2 komentar:

Pok Nik mengatakan...

Bang Din BeterBan pun dah mula ikut jejak langkah Ibn Sina.

guntur mengatakan...

Tapi, Ibn Sina dah mencapai kedudukan yang mantap dalam bidang perubatan.

Tak apalah.

Mungkin Bang Din jatuh cinta dengan falsafah lebih awal daripada Ibnu Sina.

Kita doakan dia berjaya.