Jumat, 27 Februari 2009

Sensitiflah Pada Sensitiviti

Betapa sensitifnya sesuatu itu, diukur melalui sensitiviti. Berapa banyak perubahan pada kesan terhasil daripada berapa banyak perubahan pada puncanya. Sesuatu itu dikatakan sensitif apabila sedikit perubahan dapat membawa kepada perubahan kesan yang banyak. Alat pengukur dikatakan baik jika ia sensitif. Semakin sensitif semakin baik dan tepat ukuran.

Mari kita bicara tentang manusia.

Ada orang yang diganggu sedikit aku mengamuk. Ada orang yang berdiam diri apabila diusik. Ada orang yang menjauhkan diri apabila ditegur. Ada orang yang tak kisah kalau diusik mahupun di'bakar'.

Mengapa mesti disalahkan orang yang sensitif? Salahkah mereka menjadi sensitif?

Kita sering mengutuk golongan yang sensitif. Tidak cool, kononnya. Padahal, kita tak tahu mengapa mereka menjadi begitu. Kita tak tahu atas sebab apa mereka sensitif pada sesuatu. Setiap orang setidak-tidaknya mempunyai Sensitiveness Factor.

Apakah itu Sensitiveness Factor?

Istilah tersebut aku pinjam daripada blog seorang kenalan. Bermaksud, faktor yang membuatkan sesorang menjadi sensitif. Faktor yang menyebabkan seseorang itu 'meletup' kalau disentuh perkara tersebut. Dalam bahasa perubatan, alergik.

Tak semua orang sensitif pada semua perkara. Jangan disangka orang yang kononnya selamba dan tak sensitif tak ada sensitiveness factor. Ia bergantung kepada individu. Kalau anda nak tahu, kentut ditertawakan pun boleh mengundang perbalahan. Silap-silap boleh mengundang pasu ke kepala.

Bak kata seorang penunggang basikal Malaysia yang pernah merentas banyak negara(bukan Muqarrabin, aku tak ingat namanya), ''Berhati-hati jika anda ingin bercakap 3 isu jika berada di perantauan. Agama, politik dan perkauman.'' Pepatah Melayu ada mengatakan, ''Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum.'' Memang 3 isu tersebut merupakan perkara sensitif masyarakat dunia secara umumnya. Dan aku pernah bertindak kurang bijak kerana terus bertanyakan agama sesorang sebagai soalan kedua selepas 'Apa khabar?''. Akhirnya, dikatakan biadab.

Sensitiflah pada sensitiviti.

Seringkali kita menyalahkan golongan yang sensitif. Tanpa kita ketahui, mengapa mereka jadi begitu. Dan mungkin mereka tak mahu jadi begitu.

Salahkan diri kita kerana tak sensitif terhadap sensitiviti orang lain. Ada yang dah berkawan bertahun lamanya, masih tak tahu kawan itu sedang berkecil hati atau tidak. Masih tak tahu sensitiviti mereka. Bak kata Ustaz Hasrizal, ''Erti hidup pada memberi...''

Mahu jadi pendakwah tapi tak tahu sensitiviti masyarakat yang mahu didakwah. Mahu jadi guru tapi tak tahu sensitiviti murid. Mahu jadi doktor tapi tak tahu sensitiviti pesakit.

Sebab itu pelajar perubatan diwajibkan belajar Etika Perubatan dan Psikologi Klinikal. Bukan setakat ilmu-ilmu sains perubatan. Anda harus ingat. Manusia terdiri daripada jasmani dan rohani.

Bagaimana nak mengenal sensitiviti orang lain?

Melalui pemerhatian. Dan juga analisa. Ada orang yang menunjukkan perasaannya secara langsung. Dan itu yang paling mudah difahami. Ada orang yang tak menunjukkan perasaan secara langsung. Tanpa bahasa percakapan. Dengan bahasa badan. Ada yang muram, ada yang tiba-tiba senyap, ada yang buat-buat sibuk dan minta diri dan sebagainya.

3 kata kunci. Teliti, analisa dan fahami. Alat pengukur yang baik adalah yang paling sensitif. Manusia yang baik adalah manusia yang memahami sensitiviti orang lain.

Bak kata abah,

''Peka atau pekak.''

p/s Ada pembaca yang menyangka blog ini menjadi tempat luahan perasaan aku. Tidak wahai sahabat. Blog aku menjadi tempat curahan idea dan pemikiran aku. Anda boleh rujuk entri pertama aku. Sila sensitif.

Sekian buat kali ini.

Kamis, 26 Februari 2009

Sembang - Gigi

Hajat di hati mahu ke kelas. Tapi tersilap jadual. Ada 4 jam berbaki sebelum kelas bermula. Jadi, aku memilih untuk beriktikaf di masjid universiti. Suasana tenang dan sepi. Ada lebih kurang 3-4 orang dalam masjid. Aku memilih satu sudut untuk berehat. Di tepi pemanas memang posisi yang strategik. Aman dan mendamaikan. Sehingga aku diulit mimpi.

Tidur aku terganggu. Ada orang yang mengusik kakiku. Siapa yang berani menjolok sarang tebuan? Apa kau tak takut disengat.

Aku membuka mata. Melihat satu susuk tubuh yang biasa ditemui. Pok Heng rupanya. Aku mengubah postur tubuh kepada duduk.

Pok Heng sedang berSMS dengan mamanya rupanya. Minta dihantar gigi dari Malaysia ke sini. Gigi manusia yang dikutip dari klinik gigi tentunya. Untuk kegunaan di makmal katanya. Berbahagialah kau dengan gigi yang hitam,berlubang dan busuk itu.

''Aku rasa sakit dalam mulut aku. Geraham belakang baru tumbuh.'' Aku mulakan dialog setelah mendapat idea dari mesej-mesej Pok Heng untuk mamanya.

''Biar aku tengok. Eh, ada ulcerlah.'' Ujar Pok Heng. Lagak seperti seorang doktor gigi.

''Waktu aku tumbuh gigi dulu, aku demam.'' Tokoknya lagi.

Aku terus menganga. Meraikan Pok Heng yang semacam ghairah berminat meneliti gigi-gigi aku. Nampak roh dan semangat pergigian makin meresap ke dalam tubuh tegapnya.

''Gigi kau makin terkakis. Itulah. Cubalah berhenti mengetap gigi waktu tidur.''

Pok Heng orang pertama yang menegur tabiat aku ini. Sebelum ini, memang aku tak sedar pun. Biasalah. Waktu tidur, deria kita memang terhenti. Bagaimana aku nak kawal mulut aku waktu aku tak sedar? Ada apa-apa idea?

Aku menganga lagi. Pok Heng makin ralit menelaah gigi-gigi aku. Entah apa yang menarik dengan gigi-gigi aku.

''Kau yang malas gosok gigi pun tak ada plak.'' Komennya lagi. Dulu ada sahabat sepengajian Pok Heng memberikan komen yang sama. Bangga aku.

''Mungkin sebab aku selalu ketap gigi. Plak nak berkumpul pun tak sempat.''

Pok Heng mengiyakan.

''Kalau budak baru nak tumbuh gigi, gigi mana yang tumbuh dulu?''. Giliran aku menyoal.

''Gigi hadapan di bawah. Dan selebihnya aku tak berapa ingat.''

Pok Heng memang mantap. Dulu waktu aku menemaninya mencari gigi di ibu kota, sempat seorang doktor gigi menyoal beliau. Gigi apa yang beliau tunjuk. Pok Heng dapat menjawab. Jenis gigi berserta kedudukannya sekali dalam mulut.

Aku minta diri untuk beredar. Kuliah hampir bermula. Giliran Pok Heng mengambil posisi aku untuk tidur. Aku bangun untuk menunaikan ibadah aku. Bak kata AA Gym,''Kuliah itu ibadah.''

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Petua menjaga kebersihan gigi

1-Berus gigi dua kali sehari, sebelum dan sesudah tidur. Ada sahabat yang menasihatkan supaya membersihkan gigi setiap kali lepas makan. Namun, membawa ubat gigi dan berus gigi adalah sesuatu yang leceh. Anda boleh menggunakan kayu siwak. Lebih praktikal. Boleh juga bersiwak tiap kali sebelum wudhuk.

2-Flossing. Iaitu menggunakan benang khusus untuk membersihkan celah-celah gigi yang sukar dicapai oleh berus gigi.

3-Elakkan meminum air bergas. Berupaya mereputkan gigi anda.

Rabu, 25 Februari 2009

Mencari Tujuan Hidup

Anda seorang pelumba kereta. Biarpun anda seorang pelumba yang hebat, adakah anda berasa tenang jika anda tidak mengetahui di manakah garis penamat? Tenangkah anda jika anda tidak tahu berapa pusingan yang anda harus lakukan?

Atau.

Anda seorang pelajar yang akan mengambil peperiksaan. Bolehkah anda berasa tenang jika anda tidak tahu di manakah dewan yang sepatutnya anda pergi untuk mengambil peperiksaan? Tenangkah anda jika anda tidak mengetahui waktu bila peperiksaan bermula?

Ya. Itulah manusia. Sentiasa tertanya-tanya dan mencari arah hidup. Bukan seperti khinzir. Hidupnya membabi buta. Merempuh, menyondol apa yang di depan mata.

Seperti Isaac Newton. Dikatakan lebih banyak menulis tentang agama daripada sains. Seperti ahli sains yang lain. Manusia yang berfikir, setidak-tidaknya akan berfikir sebab dan arah hidup mereka. Ya. Tujuan hidup ada dalam agama. Tidak kira benar atau tidak, sekurang-kurangnya dengan agama, manusia itu tahu apa sasaran dan tujuan hidupnya.

[23:115]
Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?


Menurut seorang kenalan, Ibnu Sina langsung meninggalkan dunia perubatan untuk beralih kepada ilmu falsafah. Mempunyai tujuan yang sama. Mencari tujuan hidup.

Dr Francis Collins yang pada asalnya Kristian dan menjadi atheist. Mula mengkaji pelbagai agama setelah berdepan dengan ramai pesakit yang mati. Memilih untuk kembali kepada ajaran Kristian. Kerana tertanya-tanya tujuan hidup.

Bak kata Karl Marx,

''...
It is the opium of the people...''

''Ia(agama) adalah candu manusia.''

Memang agama candu manusia. Ada candu yang dapat melegakan sakit manusia. Analgesik. Ada yang mengkhayalkan dan menipu manusia. Bergantung. Allahu a'lam.

Manusia memang 'sakit'. Betapa peritnya hidup. Carilah penawar untuk sakitmu. Aku kadangkala berasa sakit dan perit. Mungkin kadangkala aku jauh daripada agama.

Bak kata penyair Farsi,

''Setiap yang berakal pasti akan menderita.''

Mari kita hayati kisah pencarian Nabi Ibrahim.


[6:74]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.

[6:75]
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi dan supaya menjadilah dia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

[6:76]
Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: Inikah Tuhanku? Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.

[6:77]
Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: Inikah Tuhanku? Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat.

Moga kita bertemu dan mencapai tujuan kita.

Senin, 23 Februari 2009

Lain daripada Yang Lain

''Kau memang manusia pelik''

''Tak pernah aku jumpa manusia macam kau. Kau memang satu dalam seribu.''

Dan sebagainya.

Kadang-kadang aku dilemparkan kata-kata sedemikian. Aku tak kisah pun. Cuma kadangkala bingung. Apa yang peliknya aku, apa yang lainnya aku?

Lantas, aku terfikir ingin menulis entri berdasarkan situasi di atas. Di sini, aku nak membincangkan 3 perkara.

Pertama sekali, mengenai abnormality atau ketidaknormalan. Apakah dia ketidaknormalan itu? Sudah tentu lawan kepada normal. Dan apa itu normal? Iaitu biasa. Mari kita menyingkap perkara ini melalui ilmu Epidemiologi. Sesuatu perkara dikatakan tidak normal apabila kurang atau lebih daripada julat yang dikatakan normal. Contohnya, penyelidik ingin mengkaji berat badan yang normal. Sekelompok manusia dikumpulkan dan ditimbang berat mereka. Data diambil dan disusun dalam bentuk statistik. 5 bacaan terendah dikira kurang berat badan manakala 5 bacaan tertinggi dikatakan lebih berat badan. Data yang berada di antara 2 bacaan tersebut dinamakan julat normal. Tak ingat istilahnya.

Adakah ketidaknormalan itu menjejaskan kehidupan? Ada yang ya dan ada juga yang tidak. Kenapa 'ya'? Misalnya, gula dalam darah melebihi normal dapat menyebabkan banyak penyakit. Kenapa 'tidak'? Secara normalnya, manusia dilahirkan dengan 2 buah pinggang. Tapi ada juga manusia yang dapat hidup dengan 1 buah pinggang. Dan dapat menjalani kehidupan dengan normal.

Aku cenderung untuk memasukkan cacat dalam kategori abnormal.

Kedua, mengenai extraordinary atau luar biasa. Contohnya, IQ manusia secara puratanya adalah 100 berdasarkan Wechsler Adult Intelligence Scale. Jadi, manusia yang mempunyai IQ yang sangat tinggi berbanding kebanyakan manusia yang lain, tidak dikatakan abnormal. Tetapi dikatan luar biasa.

Apa beza luar biasa dan abnormal? Abnormal mengganggu kehidupan yang unggul manakala luar biasa meningkatkan kualiti kehidupan. Lebih banyak lebih bagus.

Ketiga, megenai keunikan. Maksud unik sefaham aku adalah sesuatu yang jarang ditemui. Keunikan selalunya dipengaruhi oleh suasana setempat. Contohnya, bertelinga panjang tidak menjadi keunikan di kalangan masyarakat Kelabit tapi menjadi unik di kalangan masyarakat Arab misalnya.

Jadi, apa beza unik dengan kedua-dua perkara yang disebut sebelum ini? Iaitu, keunikan tidak menjejaskan kehidupan secara umum.

Mungkin definisi yang aku terangkan tidak cukup lengkap. Mungkin keunikan boleh dikelompokkan dalam kelompok abnormal atau luar biasa.

Jadi, kelompok manakah aku, kalian dan mereka?

p/s Kalau ada satu billion manusia, maka ada 1 billion keunikan yang ada

Sekian.

Minggu, 22 Februari 2009

Takdir #1 Pengenalan

Takdir merupakan salah satu rukun iman. Tidak percaya dengan takdir tentunya menjejaskan keimanan. Takdir dapat difahami dengan dua perkataan qadha' dan qadar. Qadha' itu merupakan perlaksanaan perkara yang ditentukan manakala qadar itu adalah ketentuan dari Allah. Demikianlah menurut pemahaman aku.

Dari mumayyiz sampai baligh, belajar bab takdir ramai yang belum faham sepenuhnya. Termasuk aku. Ramai juga yang salah faham dan buat-buat faham. Dari apa yang aku belajar takdir selama ini, aku nampak pemahaman takdir ini terdiri daripada tiga perkara asas. Ketentuan Allah, ikhtiar dan usaha dari manusia dan keizinan atau pelaksanaan oleh Allah.

Namun, ada beberapa golongan yang muncul akibat salah faham atau menolak salah satu daripada 3 perkara asas tersebut. Golongan qadariyyah menolak pelaksanaan dari Allah. Mereka percaya bahawa Allah tidak terlibat dengan tindakan mereka. Dan juga berpendapat Allah tidak tahu perkara yang akan berlaku.

Golongan jabariyyah pula menolak usaha dan ikhtiar dari manusia. Dengan kata lainnya, manusia tidak bertanggungjawab sepenuhnya atas perlakuan mereka. Fahaman yang diasaskan oleh Jahm bin Sofwan ini juga berpendapat bahawa manusia tak akan dimasukkan ke neraka atas dosa-dosa mereka.

Manakala, golongan ahli sunnah wal jama'ah menerima 3 prinsip asas tersebut. Allah menentukan sesuatu, lalu manusia diberikan kuasa untuk memilih dan berusaha dan akhirnya sama ada usaha tersebut diizinkan oleh Allah atau tidak. Dan manusia dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Ramalan cuaca dibuat berdasarkan pemerhatian manusia terhadap alam. Terhadap faktor yang difikirkan dapat mempengaruhi cuaca yang diramal. Seperti suhu, awan dan sebagainya. Anda boleh rujuk Jabatan Kaji Cuaca.

Tapi, mengapa ramalan cuaca itu tak selalunya tepat. Kadang-kadang betul dan kadang-kadang salah malah bertentangan. Seperti semalam. Diramalkan salji turun di bandar I tapi hanya hujan fros yang datang. Mengapa?

Kerana ada 2 sebab. Kerana ilmu dan kuasa manusia. Mungkin ada faktor yang mempengaruhi cuaca pada hari tersebut yang manusia terlepas pandang. Mungkin juga kesilapan manusia dalam mengambil data dan mempengaruhi bacaan. Senang kata, ilmu manusia adalah terhad.
Tolong beritahu aku manusia mana yang dapat memindahlan hujan sesuka hati dia. Sila bantu kawasan kemarau seperti Benua Afrika ataupun Jelebu. Mana dia? Tidak ada. Manusia tak ada kuasa untuk berbuat begitu. Alangkan diri sendiri tak dapat dikuasai apatah lagi alam sekitar. Hasilnya, manusia tak dapat mengawal dan menentukan cuaca. Hanya mampu meramal.

Begitu juga dengan ilmu perubatan. Mari aku bawa anda semua mengenali apa itu prognosis. Prognosis secara ringkasnya adalah kebarangkalian untuk sesuatu perkara terjadi hasil daripada perkara yang lain.

Contohnya, hanya 20% pesakit tumor kelenjar air liur dapat meneruskan hidup lebih 5 tahun jika tumor merebak ke tempat lain. Kenapa bukan 100%? Kerana ada faktor lain yang mempengaruhi. Kadang-kadang ada orang yang menghidap penyakit yang dikatakan membawa maut. Tapi, mati akibat penyakit lain yang kurang mencabar daripada penyakit awal. Nanti aku kupas perkara ini dalam entri lain, InsyaAllah.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Mari kita kembali kepada topik asal kita iaitu takdir. Allah mempunyai ilmu terhadap ciptaannya di samping berkuasa terhadap selainnya. Allah mempunyai ilmu yang yakin dan pasti. Dia tahu semua faktor yang akan mempengaruhi sesuatu perkara. Diulangi, semua faktor. Tidak seperti manusia. Mungkin setakat tahu berpuluh-puluh faktor, manakala beratus-ratus faktor lain tak diambil kira dan terlepas pandang.

Allah berkuasa terhadap setiap kejadian. Bukan sahaja faktor, malah kesan pun dikuasai. Subhanallah.

Memetik analogi dari seorang kenalan mengenai takdir. Manusia ibarat orang yang bermain game di komputer. Manakala, kesan daripada step yang dibuat sudah ditentukan oleh pencipta game. Contohnya, kalau terkena headshot dalam permainan Counter Strike, watak dalam permainan akan mati. Namun pemain bebas memilih gerakan yang dikehendaki namun tidak bebas menentukan kesan daripada gerakan tersebut. Kalau dah terkena headshot, masih hidup contohnya.

Setakat ini dahulu entri kali ini. Nantikan keluaran akan datang kalau aku rajin, Insyaallah.

p/s Maaf kalau ada kesilapan fakta. Bab takdir aku belajar 5 tahun lepas dalam subjek Tauhid. Kalau salah, tolong tunjukkan.

Kamis, 19 Februari 2009

Sedikit Cerita-Evolusi

Pada kebiasaannya, setiap batch pelajar perubatan di universiti tempat aku belajar akan menubuhkan summarizing group. Sukarelawan dalam grup tersebut kebanyakannya pelajar Arab manakala kami, pelajar Melayu hanya menumpang sahaja. Fungsi grup tersebut adalah merakam syarahan daripada doktor-doktor dan kemudiannya menyalin kembali apa yang diperkatakan oleh doktor tersebut. Mereka akan meletakkan nota tersebut di dalam laman web rasmi grup supaya dapat dimuat turun oleh pelajar lain. Bukan saja nota-nota mereka, malah slaid dan ringkasan dari doktor turut diletakkan di situ. Terima kasih buat kalian walaupun kadangkala aku mengetawakan bahasa Inggeris kalian yang melucukan(macamlah aku pandai sangat Inggeris).

Kadang-kadang mereka akan selitkan tazkirah atau dedikasi buat sahabat-sahabat mereka di ruangan akhir nota yang ditulis. Selalunya dalam bahasa Arab atau Arabiziy(Arabiy+Ingliziy=bahasa Arab yang ditulis dalam huruf latin).

Tamat kisah mengenai summarizing group. Namun, dalam banyak-banyak nota yang ada, ada satu selingan di akhir nota yang ditulis yang menarik minat aku iaitu mengenai evolusi dan Islam.

Apa katanya?

Menurutnya beruk itu berasal daripada manusia berdasarkan al-Quran seperti yang termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 65.

[2:65]
Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang-orang yang melanggar di antaramu pada h ari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".

Ayat tersebut mengisahkan kaum Nabi Musa yang melanggar larangan menangkap ikan pada hari Sabtu yang dikhususkan untuk beribadah. Maka, mereka disumpah menjadi beruk.

Menurutnya lagi, banyak pendapat ulama' tafsir mengenai ayat tersebut. Ada yang berpendapat bahawa beruk-beruk tersebut tidak hidup lama selepas disumpah dan tidak membiak dan ada juga yang berpendapat bahawa beruk tersebut hidup dan membiak. Penulis lebih cenderung dengan pendapat kedua dan berpendapat bahawa beruk-beruk yang ada adalah keturunan daripada kaum yang disumpah tersebut.

Memang secara genetiknya, DNA beruk adalah lebih kurang 90 peratus sama dengan DNA manusia. Manakala, menurut teori evolusi Darwin, manusia dan keluarga beruk berkongsi moyang yang sama. Semua ini berdasarkan DNA, bentuk tengkorak dan sebagainya.

Ada satu lagi ayat yang dibincangkan iaitu surah al-Maidah ayat 60.

[5:60]
Katakanlah: Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul.

Aku pun tak berapa jelas mengenai peristiwa di sebalik ayat tersebut, manusia yang disumpah menjadi beruk dan khinzir. Sesiapa yang ada maklumat, bolehlah tulis di ruangan komen.

Namun, menurut kajian, haiwan yang paling sesuai untuk dilakukan transplant jantung adalah khinzir kerana jantung khinzir paling mirip dengan manusia.

Sesiapa yang ada maklumat tambahan atau pembetulan untuk maklumat yang salah, aku sangat berharap agar ditulis di ruangan komen. Entri aku cumalah kupasan dari pendapat orang lain dan hanyalah sekadar pencetus idea.



Selasa, 17 Februari 2009

Jangan Main Api

Anda pernah dengar kebakaran besar berpunca dari puntung rokok, ubat nyamuk dan bunga api?
Dari nyalaan ubat nyamuk yang nampak tak merbahaya, yang tak mencabar, merebak ke langsir, dari langsir ke pintu dan dinding dan ke serata rumah.

Waktu sekolah dulu, aku ada menghadiri kursus kebakaran. Antara tidur dan jaga, aku sempat mendengar ada tiga rukun kebakaran iaitu haba, bahan bakar dan udara(oksigen). Lukis segi tiga dan letak setiap faktor pada setiap sudut segi tiga tersebut. Apabila satu sudut hilang, maka segi tiga itu pun tak wujud. Begitu juga dengan rukun kebakaran. Apabila tiada salah satu, maka kebakaran dapat dihentikan, insyaAllah.

Halang kebakaran daripada merebak dengan menghapuskan salah satu faktor tersebut. Sebelum kebakaran menjadi lebih besar dan menghalang anda daripada memadamkannya.

Sebenarnya, aku bukan nak bercerita mengenai kebakaran, perenggan di atas adalah analogi untuk ruangan muhasabah kali ini.

Aku pernah membuat kesilapan yang tidaklah sebesar mana 2 tahun lepas, namun sampai sekarang aku merasa sedikit sengsara akibat kesalahan kecil itu. Dimarah, dikutuk, diumpat, di'bahan', didenda bahkan kebebasan agak tersekat.

Siapa sangka kesilapan yang tak sebesar mana menjadi masalah besar hingga sekarang. Siapa sangka dari api kecil boleh terbakar satu hutan. Cegah sebelum merebak.

Berhati-hati dengan semua orang. Dari seorang yang tahu, tak mustahil satu negara akan tahu. Ibarat api merebak bahkan mungkin lebih pantas.

Pepatah Melayu ada mengatakan, 'Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.' Begitu juga dengan pepatah Inggeris, 'Tiada guna menangis di atas susu yang tumpah.'

Akhir kata, jangan main api.

Rabu, 11 Februari 2009

Siapa Kita?

Siapa kita?

Siapa kita? Dari mana kita? Dari mana kita sebelum kita lahir? Dari mana kita sebelum benih ibu bapa kita bercantum? Dari ovumkah kita? Dari spermakah kita? Di mana kita sebelum spermatogenesis? Di mana kita sebelum oogenesis?

Siapa kita?

Kitakah jasad kita? Di manakah kita di jasad kita? Di kepalakah, di jantungkah atau di otakkah? Bukan di rambut yang selalu dipotong, bukan di kulit yang selalu terhakis. Jasad dibentuk sel, sel dibentuk molekul, molekul dibentuk atom, atom gabungan neutron, proton dan elektron dan mungkin dibentuk jasad yang lebih kecil? Pernah ku dengar bahawa jasad adalah tenaga yang tidak bergerak. Di manakah kita sebenarnya?

Siapa kita?

Di mana kita setelah kematian kita? Tatkala hancur jasad dikandung tanah? Kitakah jasad kita?

Dari mana datangnya perasaan? Dari mana datangnya idea dan fikiran? Apa bezanya manusia dengan robot? Robot yang tak punya perasaan. Bekerja selagi masih ada tenaga, manusia bekerja selagi ada kehendak dan tenaga.

Sebenarnya kita adalah roh kita. Yang menempati jasad yang mati. Yang mungkin menggerakkan akal fikiran. Yang mungkin menggerakkan sel saraf supaya bekerja. Yang mungkin menggerakkan sel-sel Purkinje untuk mengepam darah dalam jantung.

Tanpa roh, jasad itu mati. Roh yang dibekalkan akal untuk berfikir. Dibekalkan nafsu untuk terus hidup. Akal mengawal nafsu supaya tak berlebihan.

Apa itu roh?

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja. (17:85)

p/s Misteri sungguh kehidupan ini

Keseimbangan

Keseimbangan itu secara umumnya bermaksud satu keadaan yang disenangi hasil daripada 2 daya yang bertentangan. Tak faham? Analoginya, cuba anda bayangkan jongkang-jongket. Pada setiap hujungnya diduduki objek. Tidak kiralah berat mana pun objek-objek tersebut, apabila jongkang-jongket itu tidak bergerak, itulah dipanggil keseimbangan. Menurut falsafah Yin Yang, 2 objek yang bertentangan sebenarnya saling bersangkut-paut(interdependant). Sama seperti analogi jongkang-jongket tadi, apabila objek pada salah satu hujung bertambah berat, objek yang pada hujung satu lagi perlu ditambahkan beratnya untuk mencapai keseimbangan.

Pada pemerhatian aku, ada 3 jenis keseimbangan yang berkait dengan manusia.

1. Keseimbangan secara individu

Keseimbangan jenis ini aku tafsirkan sebagai kesihatan. Mari kita berkenalan dengan homeostasis. Menurut wikipedia, homeostasis bermaksud sistem kawalan dalam badan yang mengekalkan keadaan yang stabil dan konstan. Antara sistem kawalan dalam badan adalah negative feedback iaitu suatu keadaan yang menurunkan nilai yang tertentu supaya kembali ke normal. Sebagai contoh, apabila kepekatan gula tinggi dalam badan, insulin akan dibebaskan lebih banyak untuk menurunkan gula ke paras normal. Apabila paras gula sudah rendah, insulin kurang dibebaskan, dan itulah yang dipanggil keseimbangan. Apa itu penyakit? Banyak penyakit(atau semua?) yang terjadi apabila keseimbangan terjejas. Jadi penyakit mungkin boleh ditafsirkan sebagai keseimbangan yang terjejas. Contohnya, pesakit diabetes, kurang insulin dibebaskan, maka paras gula dalam darah meningkat tanpa kawalan dan membawa kepada penyakit lain.

Mungkin ada lagi keseimbangan secara individu secara IQ, EQ dan SQ. Anda boleh kaji sendiri dan letaklah di ruangan komen kalau sudi.

2. Keseimbangan manusia dengan alam

Aku teringat kata-kata seorang sheikh tabligh setahun lepas mafhumnya,' Manusia dan alam ini adalah ibarat 2 mesin, apabila kedua-duanya berkomunikasi secara baik, maka wujudlah keseimbangan.' Kenapa hubungan manusia dengan alam yang dititikberatkan, bukan hubungan khinzir dengan alam? Kerana manusia diberi tugas sebagai khalifah di muka bumi ini, yang diberi akal untuk mentadbir bumi. Apabila keseimbangan antara manusia dan alam terjejas maka wujudlah sesuatu yang dikatakan pencemaran. Contohnya, manusia dan haiwan memerlukan oksigen dari pokok untuk hidup. Apabila manusia membakar hutan yang menjadi penyumbang oksigen, maka kehidupan manusia akan terjejas. Bukan setakat itu, karbon dioksida yang terhasil akan menyebabkan kesan rumah hijau yang menyebabkan suhu bumi meningkat dan bandar-bandar banjir akibat ais cair di kawasan kutub. Patutlah malaikat bimbang manusia menjadi khalifah(rujuk surah al-baqarah).

3. Keseimbangan manusia dengan manusia

Boleh juga disebut sebagai keharmonian. Mengenai perkara ini, aku teringat satu teori ekonomi iaitu Permintaan dan Pemasaran(Equilibrium Price). Apabila jumlah barangan meningkat dan kurang permintaan, maka harga barang akan menurun dan begitulah sebaliknya. Dan terdapat harga yang optimum pada pengeluaran dan permintaan tertentu yang dikenali sebagai harga yang seimbang(equilibrium price). Mungkin juga wujud keseimbangan dari sudut politik. Adakah perang disebabkan keseimbangan antara manusia terjejas?

p/s Aku masih tak dapat tidur. Mungkinkah kitaran melatonin aku terganggu dan aku menghidap Delayed Sleep Phase Syndrome? Aku perlu menyeimbangkan semula keadaan ini sebelum kelas bermula.

Rabu, 04 Februari 2009

Diarrhea

Aku baru sahaja pulih daripada diarrhea yang menyerang aku semenjak 2 hari lepas. Dimulakan dengan demam selama sehari dan disusuli oleh 10 kali berak sehari. Mengikut perubatan, diarrhea bermaksud berak lebih 200 gram sehari atau kepekatan air dalam tahi lebih 90 peratus(kalau tak silap). Banyak faktor yang menyebabkan diarrhea seperti radang dalam perut, bakteria dan virus.

Akibat tak tertahan dengan penyakit ini , aku ke farmasi untuk membeli ubat. Terasa malas nak ke klinik kerana klinik lebih jauh daripada farmasi. Hasilnya aku membayar 4JD(RM 20) untuk ubat-ubatan Paracetamol( ubat tahan sakit dan anti demam), Loperamide( ubat anti cirit) dan Nidazole(ubat antibiotik). Bro Abu ada bagitau aku yang diarrhea sebenarnya adalah cara untuk menyahkan bakteria atau virus dari dalam perut. Seperti yang aku baca di laman Wikipedia, menurut Evolutionary Medicine, diarrhea merupakan pertahanan badan yang berevolusi.

Sebenarnya, lebih baik ke klinik daripada farmasi secara terus sebab doktor akan mencari punca penyakit dan memberikan rawatan yang bersesuaian dengan punca dan simptom. Bak kata orang, 'Doktor yang baik merawat punca bukan simptom'. Kalau diarrhea anda disebabkan bakteria, anda akan diberi antibiotik. Kalau diarrhea anda disebabkan virus, anda cuma diberi air dan garam untuk menampung air dan garam anda yang hanyut bersama-sama najis anda.

Jadi, di sini aku ada beberapa panduan untuk mengelakkan diri daripada menghidap diarrhea:

1.Basuh tangan sebelum makan. Lebih-lebih lagi bagi yang berkuku panjang, tau-tau ada perisa tambahan pula.

2.Kalau nak makan di kedai, pilih tempat yang bersih. Ada sedikit pesanan dari pensyarah Microbiology aku. Katanya, ''A good physician doesn't eat salad from restaurant.'' Mungkin nasihat ini hanya sesuai digunakan di tanah Arab, namun berhati-hatilah.

3.Untuk makanan dalam tin, rujuk dahulu tarikh luput.

4.Kenali diri anda. Ada orang yang tak dapat menerima susu(lactose intolerance) akan tercirit selepas meminum susu.

5.Kalau ada maklumat tambahan, boleh tambah di ruangan komen

Semalam, aku berchatting dengan seorang sahabat sama sekolah yang kini belajar agama di Mesir. Beliau pernah menghidap diarrhea seperti aku dan yang lebih dahsyatnya beliau tak dapat makan selama seminggu. Mungkin disebabkan keadaan di Mesir yang tak begitu bersih dan beliau terlantar di hospital buat sementara waktu.

Apapun kebersihan sebahagian daripada iman dan kebersihan asas kesihatan(walaupun bilik aku macam baru lepas perang).

Nasib baik sakit waktu cuti......