Jumat, 28 Agustus 2009

Antara Logik dan Ilmu

Saya hendak membawa pembaca sekalian merenung seketika apa erti logik. Tentu ramai yang menjawab logik adalah perkara yang diterima akal. Kalau begini jawapannya, sudah tentu logik itu sesuatu dan yang relatif dan tiada logik yang mutlak. Akal manusia lain-lain. Nah, jadi di sini saya bawa tafsiran logik yang menurut Wikipedia adalah suatu kajian khusus yang membincangkan prinsip dalam membuat kesimpulan yang sah dan taakulan yang tepat. Bagi saya logik itu adalah satu ilmu untuk mencari kebenaran dan kebenaran itu mestilah mutlak. Teringat saya kata-kata seorang ulama, ' Kebenaran itu hanya satu'.

Izinkan saya untuk membuat sedikit analogi untuk membuat hubungkait antara logik dan ilmu. Logik itu saya umpamakan besi cerucuk, manakala ilmu itu adalah batu bata. Bangunan tak dapat didirikan tanpa besi cerucuk biar banyak pun batu bata yang berlonggok. Dan besi cerucuk yang dicucuk saja tak dapat dipanggil bangunan. Kan? Itu namanya bangunan tak siap. Dalam erti kata lain, logik adalah prinsip manakala ilmu adalah pelengkap.

Logik tak lengkap tanpa ilmu dan mungkin sesat tanpanya. Suka saya beri 2 keadaan di mana logik berdiri tanpa ilmu iaitu:

Logik orang dulu berbanding orang sekarang

Saya teringat waktu zaman sebelum baligh saya ketika saya memperlekehkan mesin masa Doraemon. Saya katakan mesin itu hanya mengarut dan mustahil dapat dicipta. Lalu kakak saya membidas saya dengan kenyataan yang agak bijak bagi saya

''Bagi orang zaman dulu, mustahil manusia boleh terbang''

Saya terdiam. Memang betul. Saya teringat adik-beradik Wright yang digelakkan ketika mereka hendak membuat penerbangan pertama mereka. Orang yang menggelakkan mereka terdiam selepas melihat mereka terbang lebih kurang 400 meter kalau tak salah saya.

Mungkin juga paderi yang membakar Galilei akan menyesal kalau beliau masih hidup.

Mungkin juga di masa hadapan mengembara ke zaman lain tidak menjadi sesuatu yang mustahil. Rujuk artikel ini. Rakan saya, saudara Mui juga pernah membincangkan perkara ini dengan saya dan beliau lebih arif lagi.

Logik orang kebanyakan dengan pakar

Sekali lagi saya ingin membuat contoh bosan. Lihat kenyataan ini,

''Aspirin boleh mengurangkan risiko penyakit jantung myocardial infarction dan juga boleh menyebabkan penyakit tersebut''

Contoh lain.

''Amphetamin dapat mengaktifkan saraf manusia. Tetapi dadah tersebut digunakan untuk kanak-kanak hyperaktif. Sudahlah terlebih aktif, hendak diaktifkan lagi?''

Tentu nampak tidak logik kenyataan tersebut. Wujudnya dua perkara yang bertentangan adalah tidak logik dan tertolak. Tetapi tidak bagi ahli farmasi. Inilah yang dinamakan kesan paradoks. Boleh juga merujuk kesan dadah Succinylcholine.

Teringat saya tentang kisah kenalan saya ketika dia ditanya oleh seorang sheikh tentang satu masalah feqh. Beliau menjawab dengan logik beliau. Akhirnya sheikh tersebut mengatakan bahawa jawapan beliau betul cuma kaedah salah.

Kalau ikut format Matematik SPM, jawapan yang betul tapi kaedah salah hanya layak mendapat markah sifar. Jawapan salah tapi kaedah betul dapat setengah markah.

Jadi, berdasarkan contoh-contoh di atas saya menyeru supaya pembaca-pembaca yang berfikiran logik lagi kritis supaya lebih rajin menuntut ilmu(ayat klise). Bimbang-bimbang logik anda itu akan semakin menyesatkan anda. Saya ada menulis mengenai batasan logik di sini.

Saya perhatikan ada 4 jenis manusia berhubungan dengan topik logik dan ilmu iaitu;

Berfikiran logik dan ilmu pun banyak

Secara peribadi, saya amat kagum dengan orang jenis ini. Biasanya orang jenis ini dapat mengaplikasikan ilmu mereka dengan baik dan ada juga yang dapat menghasilkan idea baru. Mereka biasa kritis dalam menerima satu-satu maklumat.

Berfikiran kurang logik tapi banyak ilmu

Buat mereka yang terkelompok dalam golongan ini, jangan risau kerana dalam proses pembelajaran anda, anda akan dilatih untuk berfikiran logik. Bak kata orang, zaman mahasiswa banyak tercetus idea baru.

Berfikiran logik tapi kurang ilmu

Saya nasihatkan supaya anda rajin menuntut ilmu supaya menjadi golongan pertama. Takut-takut kalau logik anda makin menyesatkan anda.

Berfikiran tak logik dan kurang berilmu

Saya tak nak hurai tentang golongan ini cuma berharap supaya pembaca dapat menolong kenalan yang mempunyai masalah ini. Bimbing mereka ke jalan yang benar.

Sekian.

Tidak ada komentar: