Minggu, 23 Agustus 2009

Anakku Samdol #3

Puan Rosmah menggerakkan anak bongsunya, Bengong yang lena tidur di sebelahnya. Tak sampai 3 kali digerakkan sambil dipanggil namanya, Bengong sudah menukar posisinya dari baring kepada duduk. Mulutnya terkumat-kamit membaca doa dan zikir yang tak diketahui jenisnya. Anak ini memang baik. Patuh dan hormatkan orang tua walaupun agak sedikit naif dan lurus bendul. Memang berbeza dengan saudara sulungnya. Walaupun tak begitu degil, tapi selalu mempersoalkan arahan ayah dan ibunya. Skeptik kononnya. Tak sami'na wa ato'na bak kata Ustaz Mansur, guru agama di sekolahnya.

Giliran Samdol pula untuk dibangunkan. Puan Rosmah keluar dari kamarnya dan melangkah ke bilik Samdol.

''Samdol, bangun Sayang. Kita solat subuh''

''Ibu dah lupa ke? Kan Samdol dah....''

''Ah, ibu baru ingat. Maaf, ibu tak perasan. Tapi Samdol kena bangun awal juga. Hari ni kan Samdol kena pergi sekolah.''

''Yelah. Samdol mandi dulu ye ibu.''

Puan Rosmah masuk kembali ke biliknya. Kelihatan Bengong sudah siap berkopiah dan berkain pelikat. Dua sejadah siap dibentang. Iqamah dialunkan, takbir diangkat. Puan Rosmah menjadi makmum kepada anaknya. Al-fatihah dan surah Sajadah dibaca. Syahdu dan merdu suaranya.

Samdol baru selesai mandi. Kipas dihidupkan. Nombor 3. Biar cepat rambutnya kering. Ah, terasa khayal seketika. Ibarat dihembus bayu dari laut. Matanya dipejamkan menikmati nikmatnya angin kipas.

''Samdol. Mari makan''

Khayalannya dimatikan oleh suara ibunya. Samdol memakai pakaian uniformnya, rambut disapu minyak tapi disikat dengan tangan. Tak apa, asalkan kemas. Tak sampai lima minit, barulah dia pergi ke dapur. Tangannya mencapai telur rebus. Dikupas kulitnya. Dihimpit antara dua keping roti. Tak cukup sebiji diambilnya lagi satu. Dibaham dan dikunyah dengan gelojoh.

''Makan dengan syaitan''

Samdol menjeling adiknya. Bengong sedang menadah dua tangan sambil mulut terkumat-kamit membaca doa. Ah, apa dia peduli.

Dia segera menghabiskan sarapan. Ada sedikit lagi kerja sekolah yang perlu diselesaikan dan mahu dihantar hari itu. Cadangnya, biarlah tiba awal di sekolah supaya ada masa untuk kerja itu disiapkan.

Samdol berjumpa dengan ibu. Nak minta restu sebelum ke sekolah lagaknya. Tangan ibu dikucup mesra. Dia tersenyum. Ibu pun sama.

''Ibu, hidup kita ini adalah untuk bergembira dan menggembirakan orang lain''

''Betul tapi itu bukan yang utama. Ada satu perkara yang Samdol lupa sebut dan perkara itu yang paling penting''

''Apa dia?''

''Nanti ibu beritahu. Tengok. Pak Atan dah sampai. Cepat naik bas tu.''

''Jangan lupa tau, ibu.''

Samdol berlari-lari anak menuju ke bas dan duduk di sebelah Khadijah. Terpaksa kerana itulah satu-satunya tempat yang tinggal. Itupun terlebih baik daripada dia terpaksa menunggu bas kosong yang lain. Mungkin selepas setengah jam baru ada. Khadijah kelihatan malu-malu ayu ketika Samdol duduk di sebelahnya. Khadijah dikenali sebagai gadis warak di sekolahnya. Thiqah bak kata anak muda. Kebetulan sekelas dengan Samdol.

Pintu bas ditutup secara automatik. Pak Atan meneruskan perjalanan. Pengarang ditinggalkan. Nampaknya cerita terpaksa disambung ke episod seterusnya.

2 komentar:

MZ mengatakan...

Nape samdol x semayang?
ingatkan die perempuan.

ke lepas dia mandi baru semayang?

guntur mengatakan...

sila rujuk episod 1
sedikit makluman
cerita ni mungkin akan habis tahun depan
sekian