Selasa, 21 Juli 2009

Majoriti Dalam Kesesatan

Izinkan aku membuat satu analogi.

Di kebanyakan negara Arab, penduduknya lebih selesa menggunakan bahasa pasar yang lebih dikenali sebagai 'amiah. Bergantung pada tempat dan suku kaum, ada yang sangat berbeza dengan bahasa Arab yang asal ada yang berbeza sedikit. Pada hakikatnya sama-sama salah jika dilihat dari sudut tatabahasa.

Walaupun bahasa yang asal telah rosak, namun 'bahasa' yang baru muncul ini ada tatabahasa yang tersendiri; yang berbeza dengan bahasa asal. Buat yang baru belajar 'amiah, mungkin ayat anda berbunyi pelik jika anda tidak mengikut 'tatabahasa' mereka.

Bagi golongan 'Arab celup'; yang perasan fasih gila cakap Arab, apabila terdengar bangsa mereka berbahasa Arab standard, mereka akan terasa humor. Lawak gilalah bak kata mereka. Kalau sempat, mereka akan menghadiahkan buah tawa mereka. Bukan mereka sahaja yang berbuat begitu, malah orang Arab yang asal pun kadang-kadang mentertawakan si penutur.

Hakikatnya mereka mentertawakan kebenaran!

Kerana majoriti dan 'golongan elit' sama-sama mentertawakan.

-Minta maaf kepada pembaca jika ayat-ayat selepas ini berbunyi sikah. Pengarang yang lemah ini tidak pandai menyusun ayat lantaran tiada idea-

Kita singkap kembali sejarah kedatangan Islam. Majoriti saat itu sudah menerima pelbagai budaya songsang; seperti menanam anak perempuan hidup-hidup, meminum arak dan sebagainya. Lantas datanglah seorang Rasul untuk mengubah budaya yang telah berakar umbi tersebut. Dan seperti biasa, sesiapa yang mahu mengubah kebiasaan ibarat menyongsang arus, mendapat tentangan yang maha dahsyat.

Kerana kebenaran itu diletakkan pada pandangan majoriti dan 'golongan elit'

Semua ini berkisar tentang mentaliti. Kalau mereka memang tak mahu menerima sesuatu, sampai mati mereka akan merasionalkan pendapat mereka meskipun salah. Kalau mereka kata hitam, hitamlah sampai bila-bila.

Berfikir di luar kotak

Kadang-kadang kita perlu keluar dari kelompok kita dan mengubah cara fikiran kita untuk mencari kebenaran. Mungkin kita tak nampak kesalahan yang ada kerana dalam kelompok itu sentiasa ada hujah-hujah yang membenarkan pendapat mereka. Tiada kritik dan komen.

Imam al-Ghazali tidak terus melabel sesat golongan filsuf. Beliau duduk bersama mereka hingga mahir ilmu falsafah dan diakui kepakarannya oleh mereka. Lantas beliau menyerang balas dan mengkritik golongan filsuf; dengan pemikiran dan hujah mereka sendiri. Pulang buah paku keras bak kata orang.

Muslim mana yang sanggup menerima evolusi? Muslim mana yang sanggup mendengar pandangan sekularis mahupun atheis? Mengapa terus menolak pandangan mereka tanpa berusaha memahami mereka? Mungkin ada sekelumit sebesar zarah pandangan mereka yang benar.

Kerana majoriti terus menolak.

Betul, kita kadang-kadang tak cukup ilmu. Ilmu boleh dicari. Tapi sampai bila kita nak jadi golongan ikut-ikutan.

3 komentar:

guntur mengatakan...

Lupa pulak nak masukkan hadith ni

"Umatku tidak akan bersepakat dalam perkara salah" (Riwayat at Tirmidzi, Ibnu Majah, Abu Daud dan Daruqutni)

Yang dimaksudkan oleh hadith ini adalah ijma' ulama iaitu golongan berilmu, bukan majoriti semata-mata.

muiz mengatakan...

bile nk buat lagi artikel pasal profesor guntur? aku dh rindu dgn die ni...

guntur mengatakan...

hehe...cakap je la kau rindu kat aku.
kau dah kat malaysia,tak nak mesej aku.

pasal artikel tu nanti2 la dulu.takde modal la.tunggu aku masuk klinikal,baru aku sambung balik.