''Patutlah Abang Nik score. Dahlah rajin pergi masjid,'' kata Abang Wan. Bunyi dialek timurnya masih dapat dikesan walaupun dia barangkali sudah berusaha sehabis molek.
''Ah, budak-budak perempuan Kristian grup aku yang tak pernah solat score lebih banyak daripada Abang Nik,'' jawab aku bersahaja dengan bernada sedikit geram seterusnya dapat menghentikan Abang Wan daripada meneruskan topik perbualan sehari-hari itu.
''Memanglah. Dah diorang buat muka comel depan doktor, memang dapat markah lebih,'' sampuk Abang Abu. Aku dan Abang Wan buat-buat tak dengar. Takut makin jauh dia mengarut.
Selang beberapa hari kemudian, Abang Abood yang jarang-jarang menziarahi aku akhirnya menjejakkan kakinya di bilik keramat aku. Segan aku. Dahlah bilik bersepah, nasib baik dia tak kisah.
Entah bagaimana, dia terbuka topik tentang pembukaan Konstantinopel. Katanya
''Ramai yang cakap kejayaan Mehmet Fatih ni disebabkan dia menjaga amalan tapi tak ramai yang tahu macam mana dia usaha untuk buka Konstantinopel. Dia kaji punca kekalahan askar-askar sebelum dia dan ambil iktibar. Dia cipta strategi baru dan dia bersama tentera-tentera dia ditakdirkan berjaya''
Setuju benar aku dengan Abang Abood.
Kalaulah hanya kerana doa dan ''amalan'', maka nabi tak perlu pun 313 tentera Badar itu. Seorang malaikat pun cukup untuk selesaikan tentera musyrik yang jumlahnya lebih kurang 1000 orang itu.
Dunia ini adalah tempat untuk bersusah payah membasah keringat. Bukan doa dan buat amalan sikit, terus dapat balasan. Score subjek ini, dapat bini thiqoh yang cun dan lain-lain contoh yang kononnya menggambarkan kelebihan amalan yang dibuat. Dah macam surat berantai pula. Anggap saja balasan semuanya di akhirat. Semoga ilmu Epidemiologi yang datangnya dari Allah menjadi sebab membawa mereka ke jalan kebenaran.
Lagi satu perkara yang aku tak puas hati, ada sesetengah orang yang bila tak nampak kesan baik daripada rawatan di hospital mereka mula mencuba sesuatu yang dikatakan perubatan alternatif. Mulalah mereka mencari dukun-dukun, bomoh-bomoh yang tak diselidik dulu mereka ini menipu atau tidak. Ikhtiar kata mereka. Bomoh yang mendapat formula membuat ubat dalam mimpi lebih mereka percaya daripada doktor perubatan yang kadang-kala tak tidur malam untuk mengulangkaji. Baik percaya kat aku sebab aku tidur dan siap bermimpi lagi dalam kelas. Boleh minta formula nak buat ubat dari aku. Haha.
''Makbul atau tak, bagi aku doa ni menunjukkan kita ni hamba yang lemah yang sentiasa mengharapkan pertolongan Allah,'' kata Abang Abood lagi. Subhanallah.
Sekian update untuk bulan ini. Jumpa lagi bulan hadapan, InsyaAllah.
p/s Terasa janggal sebab dah lama tak mengarang