Sabtu, 26 September 2009

aku seorang individualis

dulu abah gua pesan '' kita tak selamanya jadi budak kecik ''. seingat gua ketika itu gua masih seorang remaja berusia lima belas tahun. kata-kata itu masih terngiang dan terbayang di kepala gua, dan kata-kata itu gua masih ingat diluahkan di hadapan pejabat jpn daerah gua menetap.

itu dulu. dan baru-baru ini gua menonton sebuah filem sentimental turki. si anak yang baru kematian ayahnya berkhayal berbual dengan 'jelmaan' ayahnya'. si anak berkata 'jadi kalau kita makin besar, khayalan kita makin kecil. kan ayah?'' 'jelmaan' ayahnya berkata ' betul. dan bila kau dah besar nanti sikit pun kau tak perlukan aku'

sejak abah gua meninggal tahun lepas, gua tanamkan dalam diri gua untuk menjadi seorang individualis. bukan gua tak memerlukan dan menghargai orang lain, cuma gua nak hilangkan pergantungan gua terhadap manusia tertentu. yang ada pada gua hanyalah diri gua dan ALLAH. supaya gua tak hilang semangat untuk meneruskan hidup gua bila kehilangan seseorang itu.

dulu ada sorang kawan gua tanya '' kita ni hidup seorang diri untuk diri kita, apa gunanya mak bapak kita? ''.

gua berfikir sejenak dan menjawab '' memang kita hidup sendiri. kita ada jalan kita sendiri untuk menuju ALLAH. begitu juga dengan manusia lain. tapi sepanjang perjalanan kita, kita mungkin akan bertemu dengan orang lain pada satu persimpangan. umpamanya lu jumpa dengan mak lu di persimpangan itu, lu dan mak lu kena jalankan tanggungjawab dan hak masing-masing di situ. dan lu akan tinggalkan mak lu apabila lu nak meneruskan perjalanan yang seterusnya ''

dan gua sentuh sikit bab akhirat yang gua ingat. '' dan di akhirat nanti, lu akan kembali sebagai seorang individu. lu takkan terfikir tentang mak lu dan mak lu sikit pun takkan teringat tentang lu. semua orang di situ nafsi-nafsi, lu-lu gua-gua ''

dan kini abah gua dah meninggalkan gua. dia dah lepas dari tanggungjawab dia terhadap gua, adik-beradik gua, mak gua, murid-murid beliau dan segalanya di muka bumi ini. dan gua masih ada tanggungjawab lagi terhadap dia iaitu mendoakan kesejahteraan dia.

dan gua mungkin akan mengulang kitaran hidup yang sama. dan gua akan mengingatkan perkara yang sama kepada bakal generasi gua, inshaallah.

Minggu, 20 September 2009

mencari 2 makna #1

aku tahu Allah itu maha adil. rujuk saja surah al baqarah 3 ayat terakhir, Allah bilang dia tidak akan memberatkan hambanya melebihi kemampuan. nabi juga bilang ada 3 orang dimaafkan, orang gila, orang tidur dan orang jahil. ulama ada berpendapat, orang yang tak tercapai olehnya dakwah, tak akan diazab oleh Allah.

Allah tidak memberati hamba melebihi kemampuan

kita hanya menghukumi orang secara zahir, antara islam dan kafir. kita sembahyangkan jenazah yang kini yakini muslim dan sebagainya. tapi kita tiada kuasa untuk menghantar orang ke neraka biar seteruk manapun dia melainkan yang telah dijanjikan olehNYA. abu lahab, firaun dan yang sekepala dengan mereka.

memang ada disebut orang kafir itu kekal dalam neraka. apa erti kafir itu? memang yang kita belajar sedari dulu kafir itu lawan islam, kafir itu orang yang menolak islam dan tempat terakhir mereka di jahannam.

yang aku selalu dengar kafir itu ada 2 makna

yang menolak kebenaran.

dan juga mereka yang tidak mensyukuri nikmat. kufur lawan syukur. biar aku maknakan di sini orang yang tidak mensyukuri nikmat Allah dalam mencari kebenaran.

ada juga orang non-muslim yang pada fikiran aku tidak termasuk dalam kedua-dua golongan itu. mereka yang menghabiskan sepanjang hayat mereka mencari kebenaran, mereka yang menghargai nikmat Allah berupa akal dalam mencari makna hidup.

janganlah kita seenak perut menghantar albert einstein misalnya, yang gigih mencari kebenaran di atas landasan fizik dan falsafah, yang menolak agama yahudi yang berfahaman racisme, yang mengakui kewujudan tuhan tetapi atas nama deism, yang akhirnya mati tanpa mengucap kalimah syahadah(setahu aku), ke neraka.

kalau kamu ini jenis orangnya yang sedikit-sedikit bilang 'ke nerakalah dia', maka untunglah kamu kerana dilahirkan sebagai muslim dan rugilah mereka kerana dilahirkan kafir. boleh saja mereka menyalahkan Allah kerana dilahirkan dari rahim ibu yang kafir.

kan sudah aku pesan, Allah itu maha adil. jangan dibincangkan ke mana mereka akan pergi tetapi bincanglah bagaimana kita dapat pergi.

Selasa, 15 September 2009

Satu Soalan

Agak membosankan apabila terpaksa menunggu bas dari jam 5 pagi hingga 11 pagi di Antakya. Mujur sempat berkenalan dengan beberapa warga Turki yang boleh berbahasa Arab, menjadi teman berbual aku. Salah seorangnya bernama Syakir, berbangsa Kurdistan tapi sudah lama menetap di Turki. Kami berbual mengenai pelbagai topik menyentuh pelbagai aliran umat Islam. Dan salah satu soalannya yang membuatkan aku termenung berfikir di dalam bas adalah mengenai 'soalan maut' falsafah mengenai sifat Allah. Begini soalannya:

''Bolehkah Allah mencipta batu yang sangat berat sehingga tak mampu diangkatnya?''

Soalan begini tak dapat dijawab dengan 'ya' atau 'tidak'. Dan perlukan huraian. Kalau anda menjawab 'ya', MUNGKIN anda akan menafikan sifat Maha Perkasa dan kalau anda menjawab 'tidak', MUNGKIN anda akan menafikan sifat Maha Pencipta Allah.

Sebenarnya aku dah lama mendengar soalan begini cuma tak terfikir jawapannya.

Setelah beberapa ketika aku termenung di dalam bas, aku mendapat ilham untuk menjawab soalan tersebut dan aku fikir ada baiknya untuk aku kongsikan di blog ini. Kalau ada salah mohon ditegur dan kalau betul mohon agar dimantapkan lagi huraiannya.

Bagi aku, soalan itu adalah terlalu subjektif padahal soalan itu memerlukan jawapan yang objektif. Tak faham? Aku terpaksa terangkan sikit berdasarkan kaedah saintifik yang aku fahami. Dalam sains tak ada istilah berat atau ringan. Yang ada hanyalah berapa berat, berapa kg, gram, tan dan sebagainya. Jadi, apa kata kita tukar soalan tersebut kepada bentuk yang lebih objektif.

''Bolehkah Allah mencipta batu seberat 80 juta kg dan adakah Dia mampu mengangkatnya?''

Aku boleh jawab 'ya'.

''Bolehkah Allah mencipta batu seberat 80 juta kali ganda daripada batu yang awal tadi dan adakah Dia mampu mengangkatnya?''

Sekali lagi, aku boleh menjawab 'ya'.

Letaklah apa-apa nilai dan Insyaallah aku akan jawab 'ya'.

Kesimpulannya, berhati-hati kepada soalan dan berhati-hati menjawab. Mungkin bagi sesetengah orang perbincangan begini tak membawa kepada kemajuan umat. Entahlah. Beri masa untuk aku berfikir.

Minggu, 13 September 2009

Suatu Ketika di Adana

Perjalanan yang dijangka memakan masa selama 8 jam membuatkan aku serba tak keruan. Dari Konya ke Adana. Tidur tak dapat. Buku yang dihadiahkan oleh Halil Koparan hanya mampu ku tenung sahaja. Dalam bahasa Turki. Tak ada mood aku nak menyelak-nyelak kamus Turki yang aku pinjam dari Bro Faz. Lain kalilah aku baca, bisik hati kecil aku. Aku cuma dapat memerhatikan keindahan permandangan Turki dari dalam keretapi tersebut. Terubat jua kerinduan terhadap tanah air.

''$%^*&(*'' seorang pakcik Turki berkata sesuatu yang kurang aku fahami. Tangannya menghulurkan sebungkus biskut jenama Ulker kepada aku. Jenama tersebut agak terkenal juga di Jordan. Pada mulanya aku tolak, tapi kerana beliau berkeras maka aku terima juga. Dan biskut itu dimakan.....

.......oleh kawan-kawan aku di sini. Pok Mi dan Bro Faz.

'Tesekkur ederim, efendim'' . Aku sekadar berbasa-basi.

''Efendim. Ada... tak.... keretapi....dari...Adana...ke...Hatay....malam...ini?'' kata aku dengan Bahasa Turki dengan tersekat-sekat.

Mujur dia faham. Dia bangun dan pergi berjumpa dengan seorang petugas untuk bertanyakan hal tersebut. Perempuan muda yang duduk sebelahnya hanya senyap. Mungkin anak dia.

Kemudian pak cik itu datang kembali.

''Keretapi ada tapi hari Selasa, Khamis dan Jumaat''

Erk. Hari ini hari Ahad. Mana aku nak merempat satu hari. Dan yang penting, ada apa di Adana.

''Ada tak bas ke Hatay malam ni''

''^%*&(&*(^(&*('' Lagi sekali aku tak faham. ''Tamam'' aku sekadar meraikan.

Keretapi berhenti. Mereka berdua mengajak aku berjalan bersama. Katanya anaknya akan datang menjemput mereka. Aku ikut sahaja. Aku tak takut. Aku dah belajar taekwondo.

selama 3 minggu sahaja...

''Ne adiniz?'' tanya perempuan itu. ''Mehmet'' jawabku ringkas. Aku cuma nak mereka tahu yang aku ini Muslim. Dan baru sekarang aku tahu yang nama sebenar aku juga digunakan oleh orang Turki sebagai nama keluarga.

Aku cuba beramah dengan mereka. Si ayah namanya Erol dan anak gadisnya bernama Yomur. Tak dapat dipastikan mereka Muslim atau tidak. Yang pastinya Yomur itu wajahnya manis. Cuma tak bertudung. Rupanya mereka berdua baru pulang dari Istanbul kerana urusan pendaftaran Yomur di Universiti Perempuan Mermara. Pelajar bidang Fisioterapi. Oh, sekeretapilah kita tapi lain gerabak.

''Apa kata aku carikan kau teksi dan terus pulang ke Jordan''

Erk. Gila apa. Aku mana ada duit banyak nak naik kereta.

''Habis tu, ada pula kau duit nak jalan-jalan.

Pakcik, saya bawa duit sikit saja ni. Tidur pun di masjid dan rumah kawan.

''Ok. Kita pergi stesen bas sekarang''

Pak cik itu pun menahan bas dan kami sama-sama menuju ke Stesen Bas. Agak lawa stesen basnya. Lebih kurang macam Stesen Bas Batu Pahat. Cuma lebih bersih.

Kami berjalan menuju kaunter tiket bas syarikat HAS. Tiket yang ada pukul 9 malam. Bermakna ada lagi lebih kurang setengah jam untuk aku berambus dari Adana. Aku menyeluk saku untuk membayar tiket bas namun ditahan oleh pakcik Erol. Beliau menghulurkan wang kertas 50 lira untuk membayar harga tiket. Dan 20 lira diberi untuk belanja aku katanya. Bantuan beliau tak berakhir di situ. Beliau membelikan aku sandwich ayam serta air mineral. Amat baik hati.

''Iyi yolculuklar'' katanya sambil memeluk aku. Amat terharu. Menyesal pula aku tak cakap nak naik kereta tadi. Mana tahu dia nak bayar. Keh keh keh....

Entah dapat entah tidak nak berjumpa mereka lagi. Menyesal tak bagi e-mail.

Senin, 31 Agustus 2009

Malam di Malaysia #2

Dalam hal masyarakat Malaysia yang banyak takutkan hantu, disebabkan aku perasan bagus aku nak menuding jari menyalahkan 2 pihak iaitu;

Ibu bapa dan masyarakat setempat

Rata-rata kawan-kawan aku mereka dibesarkan dengan didoktrinkan dengan kewujudan hantu yang pelbagai nama; pocong, langsuir, toyol dan macam-macam lagi nama yang sampai aku tak pernah dengar pun ada. Mungkin kalau dibuat kalau nama-nama hantu itu dimuatkan dalam Ensiklopedia Hantu di Malaysia akan mencapai ribuan muka surat.

Waktu aku tadika dulu, ada seorang mak cik berkata kepada kawan-kawan aku

'Adik, jangan pergi rumah kosong tu. Ada hantu tetek. Dulu ada budak hilang kena sembunyi bawah tetek dia'

Sekarang aku panas dengan mak cik tu kalau dikenang kembali. Apa salahnya kalau dia kata di situ bahaya ada ular dalam semak. Budak umur 5 tahun dah tahu ular itu bahaya.

Apa salahnya kalau dididik anak-anak atau anak orang lain supaya takutkan Allah di samping mengajar logik di sebalik larangan sesuatu perkara itu. Aku tau kanak-kanak memang kuat bertanya macam Deniz dalam filem Babam ve Oglum dan iklan Hari Bapa burung pipit tu. Apa salahnya kita membantu kanak-kanak dalam perkembangan minda yang sihat mereka. Mungkin mereka fikir dengan mengaitkan sesuatu dengan hantu, kanak-kanak akan berhenti bertanya tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Aku ada terbaca satu forum di mana seorang ibu yang atheis bertanyakan pendapat forumer yang lain bagaimana cara untuk mendidik anak supaya menjadi atheis dan tak percaya benda tahyul. Agak menarik perbincangannya dan ada manfaat. Aku dah lupa apa respons yang dia terima. Kalau aku rajin, aku akan tengok balik.

Sampai asrama, cerita seram tidak lagi terhenti. Malah semakin menjadi-jadi. Ah, malas aku nak cerita. Sekolah anda sendiri tentu banyak koleksi cerita seram. Ada sahabat memberitahu aku Dewan Besar sekolah kami diwartakan tempat 'terkeras' di daerah itu. Entah bagaimana aku boleh terpercaya.

Media massa yang menambah sinergi ketakutan

Sebut saja Mastika, Pesona, Variasi dan sebagainya memang terbayang di fikiran kisah-kisah seram dan mistik di samping kisah-kisah lain yang menimbulkan kegersangan minda dan xxx. Kita tak boleh salahkan penerbit semata-mata kerana mereka menerbitkan cerita yang sensasi di kalangan masyarakat, demi menjaga periuk nasi mereka. Hubungan dua hala. Lihat contoh Mastika di ambang kejatuhannya. Mastika yang mendapat julukan Majalah Nombor Satu Malaysia itu hampir merudum jumlah pembeliannya yang ketika itu masih lagi sebuah majalah informatif. Lalu Mastika mendapat nafas baru apabila ketua pengarang mengambil langkah drastik dengan menukarkan tema majalah kepada majalah sensasi dan mistik. Dan jumlah pembelian meningkat.

Tentang filem pula, boleh singgah di blog saudara ini yang aku rasa huraiannya agak mantap.

Bagaimana nak menghilangkan ketakutan terhadap gelap?

Seperti yang aku nyatakan pada awal tulisan ini, ketakutan itu normal dan biarkan sahaja. Cuma jangan sampai ia melarat menjadi fobia. Di sini ada dinyatakan petua bagi menghadapi kanak-kanak yang takutkan gelap melalui pendekatan psikologi.

Cukuplah sekadar ini huraian ringkas mengenai fenomena takutkan hantu dan gelap ini. Sebenarnya aku kecewa dengan sikap sesetengah orang yang penakut tak tentu hala. Sekian.

Malam di Malaysia #1

Teringat aku kenangan di Malaysia, waktu malam yang paling aku berani adalah pada malam-malam Ramadan. Bukan aku saja, malah kawan-kawan aku pun begitu. Kami jadi berani meredah kegelapan malam yang kebiasaannya jarang dilalui untuk tarawih di surau kampung, melepak di luar tengah malam dan pergi ke tandas seorang diri. Dengan sebab yang sama iaitu

Syaitan, hantu dan jembalang dirantai

Tapi, bila tamat bulan ramadhan saja, ketakutan itu menyelubungi mereka semula. Ada yang takut untuk memadamkan lampu apabila tidur seorang diri. Ada yang lebih dahsyat lagi, nak ke tandas pun berteman. Sudahnya orang yang menemankan itu tertidur di depan tandas. Setiap minit, si penakut itu akan bertanya

''Kau ada lagi tak?'

Masalah, masalah.

Namun, bila aku sampai di tanah Arab ni, aku puji mereka dalam bab ini, tak penakut tak tentu pasal. Pernah sekali aku ikut jemaah tabligh di sebuah kampung, aku agak kagum dengan kanak-kanak yang bermain di kawasan perkuburan. Kalau di Malaysia, memang susah dan aku tak pernah jumpa keadaan sebegini. Aku tak pasti dalam masyarakat mereka wujud atau tidak mitos-mitos hantu seperti kita. Apa yang aku pasti kawan-kawan Arab aku tak pernah bercerita tentang hantu. Atau mereka sendiri hantu? Gurau saja. Dalam Arab tak ada istilah hantu? Cuba cari di kamus. Ejaan ghain-waw-lam.

Mungkin antara kelebihan aku datang ke sini, aku hilang takut pada hantu. Aku merayau berbasikal pukul 1 pagi, tinggal di rumah sewa seorang diri. Di sini, aku cuma takut dengan perompak dan gay saja.

Dalam entri kali ini, aku nak sentuh mengenai scotophobia iaitu perasaan takut kepada gelap. Sebenarnya apa yang ditakutkan oleh individu tersebut adalah semata-mata keadaan gelap itu sendiri. Ini sudah dijelaskan oleh pakar psikoanalisis, Sigmund Freud dalam bukunya Introduction to Psychoanalysis

"I once heard a child who was afraid of the darkness call out: 'Auntie, talk to me, I'm frightened.' 'But what good will that do? You can't see me;' to which the child replied: 'If someone talks, it gets lighter.' "

Orang Melayu pula kata

'Siang tak ada hantu'

Menurut laman Wikipedia, ada 2 punca ketakutan terhadap gelap iaitu:

-Separation anxiety ataupun kebimbangan berpisah. Di sini, aku nak pembaca dapat bezakan antara separation anxiety dan separation anxiety disorder. Separation anxiety ini normal bagi kanak-kanak. Aku tak ingat berapa had umurnya. Keadaan di mana seorang kanak-kanak(atau bayi, tak pasti) yang takut-takut apabila ditinggalkan oleh orang yang rapat dengannya. Ini normal. Tapi, kalau orang tua yang takut nak pergi tandas yang dalam rumah sendiri memang kita patut panggil disorder.

Menurut laman ini, ketakutan ke dalam gelap memang normal bagi semua peringkat manusia, dari bayi sampai atuk orang. Memang ada jenis takut yang normal. Munasabah kalau ada orang takut dengan gelap, bimbangkan ada ular, jengking yang terselindung di balik gelap, untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghidupkan lampu. Ini normal. Tapi ketakutan boleh bertukar menjadi fobia iaitu ketakutan yang tak tentu hala dan tak munasabah jika tidak dikawal dengan elok.

-Takut dengan benda yang tak nampak.

Ha, yang ini aku akan hurai kemudian.

Minggu, 30 Agustus 2009

Sembang Tentang Novel

Tengah hari tadi, aku dan Bro Faz bersembang tentang novel-novel yang melambak di pasaran, bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Realitinya, kaum laki-laki ada juga peminat novel. Bukan perempuan saja. Tapi bergantung kepada tema yang dibawa. Biasanya aku akan tanya kawan-kawan tentang sesuatu novel sebelum aku sendiri yang baca. Aku biasanya tak akan baca atau beli satu-satu novel melainkan dengan sebab-sebab tertentu.

Populariti penulis novel tersebut

Macam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang aku pesan dari mak aku di Malaysia semata-mata kerana penulisnya adalah Buya Hamka, tokoh terkenal di Indonesia. First impression bak kata orang. Tapi kandungannya dikira OK. Bahasanya indah dan ada mesej. Tak kecewa dibeli.

Begitu juga dengan novel Ukhruj minha ya mal'un(Berambuslah engkau, jahanam). Novel karangan Saddam Hussein itu aku beli di sebuah gerai majalah terpakai lebih setahun lalu. Sampai sekarang aku baru selesai baca 15 muka surat. Saja buat koleksi selain wang kertas yang ada gambar beliau sendiri yang aku ada. Perlukan sedikit masa lagi untuk habiskan lagi 200 muka surat, lebih kurang.

Populariti novel itu sendiri

Macam novel Ayat-ayat Cinta. Secara tak sengaja, aku terjumpa novel ini di rumah kawan aku. Waktu tu, memang dah maklum novel ni menjadi top-seller di Indonesia. Jadi itu antara daya tarikan novel itu yang memaksa aku melepak selama 3 jam di rumah kawan tersebut untuk menghabiskan membaca novel tersebut. Takut tak dapat tidur. Penyedap cerita dalam novel tersebut bagi aku bukannya kisah cintanya, tapi situasi di Mesir itulah sebenarnya perencah yang digunakan oleh Kang Abik bagi menyedapkan jalan ceritanya.

Adaptasi kisah benar

Sama macam filem, aku lebih tertarik dengan cerita yang berdasarkan kisah benar. Tak tahu mengapa. Mungkin jalan ceritanya lebih realistik. Macam novel Laskar Pelangi. Tarikan sebenarnya adalah kisah ketabahan kanak-kanak yang hidup susah yang dilingkari mentaliti masyarakat yang mundur dan akhirnya mereka berjaya. Memang menarik. Boleh menjadi motivasi barangkali. Tabik untuk penulis, Andrea Hirata.

Pada tangan aku sekarang ada novel berjudul Child C. Ada seseorang yang baik hati sudi meminjamkan. Novel tersebut mengisahkan kisah anak-anak yang dibesarkan dengan ibu angkat yang zalim. Penderaan terhadap mereka berterusan menjangkau kira-kira 2 dekad. Dan penulis novel tersebut, Christopher Spry yang merupakan salah seorang daripada kanak-kanak malang tersebut. Aku berjanji untuk pulangkan semula kepada empunya novel lepas sebulan kerana Bahasa Inggeris aku agak lembab.

Dan tak ada novel yang sekadar menceritakan rutin seharian. Perlu ada revolusi dan evolusi.

Jalan ceritanya berkisarkan perkara yang aku minat

Macam novel Tuhan Manusia yang menyentuh tentang konflik agama dan pluralisme dan Detektif Indigo yang ada menyentuh ilmu forensik di samping ilmu sains yang lain. Ayat yang digunakan oleh Faisal Tehrani tidaklah terlalu puitis. Tetapi, bak kata Bro Faz, analoginya mantap. Asalkan mesej sampai. Sekarang, aku berharap supaya novel Cinta Sofea yang bertemakan konflik agama dan falsafah agar singgah ke rumah aku.

Beliau pergi berkelana ke Jerman untuk membuat kajian sebelum menulis novel Tuhan Manusia. Bukan calang-calang novel berasal dari bukan calang-calang usaha.

Kalau ada novel-novel sejarah pun seronok juga. Dulu Pok Heng ada beli novel yang menyentuh tentang sejarah Soviet di gerai buku terpakai di ibu kota. Aku bukan minat sangat dengan sejarah sebenarnya. Minat baru mula bercambah sejak zaman mahasiswa. Mungkin Cikgu Kamisah gembira kalau dapat tau aku mula menghargai sejarah, subjek yang selalu aku dapat markah teruk dulu.

Aku pun tak tau lubuk-lubuk novel sebegini selalunya di mana.

p/s Aku baca novel bila bosan.