Sabtu, 30 Mei 2009

Kuliah : Dari Mana Datangnya Sakit? #2

Kau hancurkan hatiku, hancurkan lagi.....

Kedengaran bunyi nada dering dalam dewan kuliah. Memang mengganggu konsentrasi Doktor Guntur untuk mengajar. Dah berkali diingatkan supaya mematikan telefon bimbit atau menyenyapkannya sebelum kuliah bermula. Ada juga yang degil.

Rupa-rupanya.....

DG : Sayang, Abang ada kuliah sekarang ni. Habis kuliah Abang call balik. Babai. Salamalaikum.

(Bini kesayangan telefon rupanya. Pujangga ada berkata, kerjaya itu yang utama tapi cinta bukan nombor dua. Penulis : Kena masukkan unsur-unsur cinta baru cerita laku zaman sekarang ni)

Lihat gambar pada slaid saya : Sensory Homunculus. Anda sendiri dapat lihat tiada bahagian dalam Daerah Deria Rasa yang menerima saraf dari organ dalaman. Jadi sakit yang datang organ dalaman dirujuk oleh otak pada dermatome yang disupply oleh saraf tunjang yang sama. Organ yang cedera, dermatome yang sakit.

Jadi di sini saya nak beritahu bahawa ada 2 jenis sakit. Iaitu somatic pain dan visceral pain. Somatic pain berlaku apabila berlaku kecederaan pada kulit atau pada tisu di bawahnya manakala visceral pain berlaku apabila berlaku kecederaan pada organ dalaman. Jadi apa beza antara 2 jenis sakit ini?

Uday : El somatik bain ya'ni well localized o vizeral bain boorrly localized (Somatic pain is well localized while visceral pain is poorly localized-Somatic pain mudah dikesan tetapi visceral pain sukar ditentukan)

DG : Bagus Uday atas jawapan anda.

Jadi kalau ada pesakit datang berjumpa dengan kamu dan mengadu sakit, jadi kamu minta dia tunjukkan dari mana datangnya sakit itu. Kalau dia tunjukkan tempat sakit itu dengan jari bermakna sakit itu dapat dikesan dan berasal dari kulit dan tisu di bawahnya. Tetapi jika dia menggunakan tangan atau tidak pasti dari mana datangnya sakit bermakna organ dalaman atau saraf yang bertanggungjawab atas rasa sakit itu.

Saya beri contoh. Ada seorang pesakit mengadu sakit pada gigi. Apabila ditanya gigi yang mana satu sakit, beliau teragak-agak. Ini bermakna sakit itu berlaku akibat kecederaan pada saraf Trigeminal. Mungkin disebabkan oleh arteri yang berdenyut atau meningitis(radang selaput otak) . Jadi amat penting kepada doktor untuk mengambil berat hal yang sedemikian. Adalah tindakan yang bangang lagi tak senonoh jika beliau mencabut kesemua gigi pesakit tersebut walhal yang sakitnya adalah saraf.

(Tiba-tiba DG senyap secara spontan. Pelajar mula cuak dan tercari-cari punca perubahan DG. Mata DG tepat merenung wajah Nik Fazli(bukan nama sebenar) yang sedang berdengkur. Menyedari akan hal itu, rakan Nik Fazli mengejutkannya.)

DG : Mung mari sini nak ngaji ko nak tido, Pok Nik?

NF : Ambo mari nak ngaji la dokto. Dokto kecek luar sokmo hok tu ambo payoh nak nakak.

DG : Nate beruk sungguh mung nih. Toksey ngabe ko aku. Guano nak jadi dokto kalu kecek luar pung tak pehe. Mari dok depe sini.

NF : Bereh, dokto.

(Nik Fazli pun mengangkat punggung dan mengubah posisi ke tempat lain sesuai dengan arahan Doktor Guntur. Kelihatan seorang pelajar Arab, Zainal 'Abidin(bukan nama sebenar) sedang menyalin balik perbualan antara NF dengan DG sebentar tadi. Manalah tau dapat tunjuk hebat depan tino Kelate.)

...........................Bersambung lagi.............................

p/s Aku ada final exam lebih kurang setengah hari lagi. Subjek yang paling mudah tapi markah yang terendah antara subjek yang ada. Semoga mencapai target.

Kuliah : Dari Mana Datangnya Sakit? #1

(Kelihatan kelibat Dr Guntur masuk ke dewan kuliah. Para pelajar yang pada awalnya berbual-bual di merata kawasan, duduk di tempat masing-masing. Bimbang kalau-kalau pada hari itu Ali mengambil kedatangan)

DG : Assalamualaikum dan selamat tengah hari.

Pelajar : Waalaikumussalam dan semoga petang kamu diberkati Allah wahai Doktor.

DG : Ada apa-apa soalan?

Pelajar : (senyap dan ada yang buat-buat tak dengar)

DG : Jadi kamu datang sebagai pendengar saja dan bukan untuk berbincang. Ini bukan cara pelajar universiti. Baiklah saya mulakan kuliah dengan tajuk Referred pain atau menurut terjemahan saya iaitu sakit rujukan.

Seorang pelajar Arab tanpa mengangkat tangan berkata dengan lantang kepada doktor.

Pelajar : Why do you sbeak in Malizian language? Mush fahimeen wallah*.

DG : Iza ma habbeit tesma' li tegdar tetla' min muhadharti**

Doktor Guntur menyambung kuliah beliau tanpa menghiraukan pelajar tersebut lagi.

Anda selalu dengar kalau orang yang menghidap Myocardiac Infarction selalu berasa sakit di dada hingga ke bahu kiri, orang yang radang pada ovari sakit pada pangkal peha, orang yang salur ureter tersumbat boleh sakit pada peha ataupun kepala takuk dan lain-lain lagi. Dalam istilah perubatan kita sebut Referred pain.

Sebelum itu, mari kita berkenalan dengan dermatome. Boleh lihat pada gambar ini.


Dermatome adalah bahagian badan tertentu yang disupply oleh satu saraf tunjang. Err..siapa tau perkataan yang sesuai untuk supply di sini? Bodoh betul saya. Padahal dulu belajar sains dalam BM.

(Tiada pelajar yang menjawab. Adakah disebabkan PPSMI***? Ataupun mereka terasa bodoh kalau berbahasa Melayu?)

Baiklah. Sebenarnya kita tak rasa sakit pada organ. Organ tersebut disupply oleh saraf tertentu dan bercantum dengan saraf deria dari dermatome, masuk ke saraf tunjang, naik ke otak dan pergi ke Daerah Deria rasa dan diterjemahkan kepada rasa sakit. Rasa sakit terasa pada dermatome yang berkongsi saraf dengan organ yang sakit itu. Saya ambil contoh, appendiks. Appendiks disupply oleh saraf T10. Jadi apabila berlaku appendicitis pesakit akan terasa sakit pada dermatome T10 yakni pada aras pusat sebelah kanan.

Penulis : Haha tiba-tiba terasa malas nak sambung. Mula-mula tadi semangat. Betullah. Tahi ayam cepat sejuk. Aku sediakan glossari buat mereka yang tak faham.

*Demi Allah, kami tak faham
**Kalau kau tak nak dengar kuliah aku, kau boleh keluar
***Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris

.........................Bersambung...........................


Kamis, 28 Mei 2009

Mengapa Kau Suka Menyalahkan

mengapa menyalahkan bala bencana
gempa bumi, puting beliung, banjir kilat
sakit dan penyakit
bakteria dan virus
mereka menuruti perintah tuhan
perintah sunnatullah
menurut hukum graviti, tekanan dan bermacam hukum
tidak melawan, bahkan patuh dan akur

maka turutilah hukum tuhan
syariatullah dan sunnatullah
selamatkan dirimu dan cegah kemudaratan

jangan disalahkan tuhan
andai ada orang miskin dan anak yatim
menderita tiada makanan
itu semua hukum sunnatullah
sebab dan akibat
maka turutilah hukum tuhan
betulkan sebab agar akibatnya baik

syari' ghazza 530pm

Rabu, 27 Mei 2009

Siapa Tahu Apa Yang Terdetik di Hati?

Dulu kau selalu cakap

''Cakap lantang itu kosong, bekerja dengan senyap itu berguna.''

Kau kritik golongan yang bersuara itu tak bekerja, golongan blogger macam aku cakap tak serupa bikin dan kau perasan kau dan kumpulan kau sajalah yang bekerja.

Mana kau tahu mereka tak bekerja? Mungkin kata-kata mereka itu cermin kepada kerja mereka. Dan mungkin juga kata-kata mereka itu adalah kerja mereka.

Mungkin fikiran kau dah berubah setelah lama kita tak berjumpa. Moga tulisan ini hanyalah sebahagian antara lipatan sejarah antara kita. Yang baik kita jadikan iktibar yang busuk kita buang jauh-jauh.

Mungkin dahulu kau tak sedar bahawa kau menghidap satu penyakit iaitu

Riya' dalam sembunyi

Bukan kau sahaja, tapi aku juga kadang-kadang sama. Ada orang yang gaya bersederhana supaya dikatakan zuhud. Walhal sebenarnya riya' supaya orang mengatakannya tidak riya'. Kalau tak riya' sekalipun, mungkin 'ujub iaitu dalam bahasa mudahnya perasan bagus.

Teringat satu ketika saat aku melepak dengan Meon(bukan nama sebenar). Aku cerita tentang perihal 'seseorang' yang 'menjual minyak' dengan menolong gadis-gadis. Kau tau apa Meon jawab?

'' Bagi aku perbuatan 'seseorang' menolong gadis-gadis itu tak salah malah itulah yang digalakkan. Soal niat dia nak 'jual minyak' atau tidak, aku tak campur. Itu bukan urusan aku.''

Terus aku tergamam. Insaf.

Siapa kita nak menilai niat seseorang? Ada kau dengar kata hati dia? Kita tak menilai ikhlas atau tidak seseorang itu. Yang kita nampak adalah kesungguhan dan usaha.

Aku tak ada komen apa-apa tentang kesederhanaan Ahmadinejad dengan Tok Nik Aziz. Ada banyak mungkin. Mungkin mereka memang zuhud. Mungkin mereka nak pancing sokongan rakyat. Aku tak pertikai atau persoal. Aku menilai yang pasti. Tak pernah terdengar mereka makan harta rakyat.

Aku pasti kebanyakan kalian pernah dengar mencapap. Perkataan yang dicipta oleh anak muda tersebut berasal daripada dua perkataan iaitu 'mencari' dan publisiti'. Diringkaskan ikut sedap menjadi 'mencapap'.

Perkataan pesimistik itu selalunya aku lihat membunuh kesungguhan seseorang. Nak bertanya secara umum takut dikatakan mencapap. Nak menjawab soalan guru secara sukarela bimbang dianggap tunjuk hebat. Adakah Melayu saja yang mempunyai istilah ini? Kalau ada dalam bahasa lain tolong berikan aku. Nak juga tahu. Yang aku pasti pelajar Arab dan Cina tak terkesan dengan istilah ini atau yang seerti dengannya. Itu yang aku kagum dengan mereka.

Jangan menilai keikhlasan orang tapi nilailah ikhlas dalam diri sendiri. Teruskan bekerja dalam senyap atau umum, perbuatan atau kata-kata.

Senin, 25 Mei 2009

Hidupku dan Hidupmu

Saat jalan kita bertemu
Di persimpangan itu
Mungkin persimpangan itu bukan yang terbaik untukmu
Bukan kenangan yang terindah buatmu

Namun
Persimpangan itulah yang aku kenang
Pada masa yang mendatang
Yang tak akan aku buang
Sesekali akan ku pandang belakang
Melihat jalan yang telah ku lalui
Saat kita bertemu

Mungkin
Sudah tiba saat kau meninggalkan persimpangan itu
Tiada apa yang ku harap
Selain kau tiba ke destinasi yang kau tuju
Moga kewujudanku selama ini
Ada manfaat buatmu

Syari' Ghazza 637 am

Minggu, 24 Mei 2009

Jiwa dan Raga

Tiba-tiba terasa nak menulis. Adakah disebabkan Withdrawal Syndrome? Sebenarnya aku sedang kebosanan. Moga kebosanan aku diisi dengan manfaat.

Manusia itu sefaham aku terdiri daripada 3 komponen; fizikal, jiwa dan rohani. Kalau fizikal manusia dapat difahami fungsinya dengan fisiologi, jiwa manusia dapat difahami dengan psikologi. Rohani manusia bagaimana? Aku tak tahu. Mungkin sekali dengan agama ataupun spiritual.

Adakah ketiga-tiga komponen tersebut berkait rapat? Atau sekadar menjalankan tugas sendiri?

Selain ilmu-ilmu sains perubatan, pelajar perubatan diwajibkan untuk mempelajari ilmu psikologi. Oleh kerana mereka yang bakal menjadi doktor bakal bermuamalat dengan pesakit manusia mereka perlu memahami jiwa dan kehendak mereka. Menurut kajian, ada penyakit yang disebabkan oleh masalah emosi. Contohnya stress dapat menyebabkan sakit perut dan lemahnya immuniti.

Kalau psikologi membicarakan tentang jiwa manusia, psikiatri pula mengaitkan jiwa manusia dari sudut perubatan. Psikologi itu mungkin ibarat output, iaitu kelakuan manusia. Yang menariknya psikiatri membincangkan kesan fisiologi terhadap kelakuan manusia. Sebab itu, ada seorang penulis amatur menyarankan supaya psikologis mendalami ilmu saraf atau neurologi. Boleh baca di sini.

Aku teringat kata-kata ketua lanun dalam filem Ong Bak 2

''Biarkan minda kamu kuasai tubuh maka kamu akan jadi kuat.''

Mari berkenalan dengan kesan plasebo. Kesan plasebo dapat difahami begini. Misalnya, seorang doktor hanya memberikan air gula kepada pesakitnya. Pesakit tersebut menyangkakan bahawa air gula tersebut ubat dan yakin bahawa itulah dapat merawat pesakitnya. Dan ternyata dia sembuh. Yang sebetulnya, keyakinan dan motivasi beliau adalah 'ubat' kepada penyakitnya. Kesan yang lebih kurang sama dengan kesan plasebo adalah kesan nasebo. Nak tahu, baca di sini.

Spiritual yang mengesankan

Tentu anda pernah dengar tentang keluarga India yang gagah sehinggakan dapat menarik kapal terbang dengan rambutnya. Selain menjaga pemakanan, kalau tak silap aku mereka mengamalkan yoga. Ingin mendapatkan spiritual mungkin.

Aku tak dapat komen banyak tentang spiritual kerana ilmu dan pengalaman yang membataskan. Apa-apa pun ramai orang sanggup mati kerana spiritual.

Bagi aku, Islam antara terapi yang berkesan.

Keinginan yang kadang-kadang keperluan

Dalam ilmu fisiologi ada menerangkan bahawa kehendak itu kadang-kadang didasari oleh fisiologi tubuh. Syahwat terhadap jantina lain penting untuk memastikan kemandirian spesis. Boleh baca laman ini untuk mengetahui hubungan antara cinta dan biologi. Otak mengawal taste preference(maaf, aku tak tahu terjemahannya dalam BM) dalam manusia. Misalnya, kalau badan manusia kekurangan garam, manusia akan terasa untuk makan benda yang masin.

Aku pernah terbaca keinginan wanita ketika mengidam sebenarnya berasas. Kebanyakan makanan yang diidamkan itu mengandungi banyak garam mineral yang penting untuk keperluan janin. Hatta ada yang mengidam memakan tanah menurut penulis buku tersebut. Ada sahabat(lelaki) pernah berkata, sewaktu ibunya mengandungkan adik-beradik perempuannya, ibunya mengidam makanan masam seperti jeruk. Tapi waktu mengandungkan dia, ibunya tidak mengidam seperti itu. Buat para suami, penuhilah permintaan isteri anda ketika mengidam demi kemaslahatan bakal anak anda.

Menipu minda dan persepsi

Banyak dadah seperti heroin dan morfin yang mengkhayalkan manusia, menghilangkan persepsi manusia terhadap realiti. Ada yang nampak apa yang orang tak nampak, dengar bisikan 'ghaib' dan lain-lain. Boleh lihat idea seorang sahabat aku di sini.

Manusia memang bijak menipu. Dalam bidang masakan pun apa kurangnya. Mereka mendapati bahawa rasa umami dapat dirangsang jika saraf manusia mengesan sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai glutamate. Lalu mereka meletakkan MSG(monosodium glutamate) dalam masakan mereka untuk membangkitkan selera yang sebenarnya menipu mereka.

Orang yang istimewa adalah orang yang tinggi IQ, EQ dan SQ. Anda boleh kaji sendiri. Homework.

Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-62(25 Mei).

p/s Aku dengar ada orang nak movie Ong Bak 2.

Jumat, 15 Mei 2009

Entri Terakhir Sem Ini

Aku menulis bila bosan dan sekarang aku dah bosan menulis. Biasalah semangat itu turun naik dan sebab itulah wujudnya peribahasa 'Hangat-hangat tahi ayam.'

Aku akan sambung menulis insyaAllah setelah tamat peperiksaan akhir iaitu 15 Jun 2009.

Aku mewujudkan blog ini atas saranan kakak aku dan mak aku jua kerana ingin mengasah skil menulis Bahasa Melayu aku yang kian tumpul, atas pencemaran dialek-dialek kenegerian di samping bahasa medium English dalam dewan kuliah. Dan blog ini merupakan tempat aku menulis teori dan pendapat aku, mungkin dapat dirujuk pada masa hadapan atau setidak-tidaknya menjadi kenangan di waktu tua.

Aku tak dapat sembunyikan rasa kagum terhadap saudara Naqiu dan Musafir Melayu kerana mereka mampu menulis dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Bukan aku tak mahu tulis dalam English, cuma aku tak dapat merasakan perasaan yang sama ketika aku menulis dalam Bahasa Melayu. Aku ada saja blog English tapi dah lama terbiar bersawang, bersemak.

Ada seorang kawan aku berkata, 'Blog ini umpama punggung, semua orang ada tapi tak semua orang nak tengok.'' Kadang-kadang aku terasa ada benarnya kata-kata dia, kadang-kadang terasa agak kejam dia berkata begitu. Apa-apapun aku akan pastikan 'punggung' aku bersih tak berdaki. Biar apa pun yang anda tulis, pastikan anda tahu tujuan dan prinsip anda.

Terima kasih kepada pengomen-pengomen setia kerana sudi bertandang ke blog ini untuk berkongsi idea dan pengalaman.

Sekian.