Minggu, 22 Februari 2009

Takdir #1 Pengenalan

Takdir merupakan salah satu rukun iman. Tidak percaya dengan takdir tentunya menjejaskan keimanan. Takdir dapat difahami dengan dua perkataan qadha' dan qadar. Qadha' itu merupakan perlaksanaan perkara yang ditentukan manakala qadar itu adalah ketentuan dari Allah. Demikianlah menurut pemahaman aku.

Dari mumayyiz sampai baligh, belajar bab takdir ramai yang belum faham sepenuhnya. Termasuk aku. Ramai juga yang salah faham dan buat-buat faham. Dari apa yang aku belajar takdir selama ini, aku nampak pemahaman takdir ini terdiri daripada tiga perkara asas. Ketentuan Allah, ikhtiar dan usaha dari manusia dan keizinan atau pelaksanaan oleh Allah.

Namun, ada beberapa golongan yang muncul akibat salah faham atau menolak salah satu daripada 3 perkara asas tersebut. Golongan qadariyyah menolak pelaksanaan dari Allah. Mereka percaya bahawa Allah tidak terlibat dengan tindakan mereka. Dan juga berpendapat Allah tidak tahu perkara yang akan berlaku.

Golongan jabariyyah pula menolak usaha dan ikhtiar dari manusia. Dengan kata lainnya, manusia tidak bertanggungjawab sepenuhnya atas perlakuan mereka. Fahaman yang diasaskan oleh Jahm bin Sofwan ini juga berpendapat bahawa manusia tak akan dimasukkan ke neraka atas dosa-dosa mereka.

Manakala, golongan ahli sunnah wal jama'ah menerima 3 prinsip asas tersebut. Allah menentukan sesuatu, lalu manusia diberikan kuasa untuk memilih dan berusaha dan akhirnya sama ada usaha tersebut diizinkan oleh Allah atau tidak. Dan manusia dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Ramalan cuaca dibuat berdasarkan pemerhatian manusia terhadap alam. Terhadap faktor yang difikirkan dapat mempengaruhi cuaca yang diramal. Seperti suhu, awan dan sebagainya. Anda boleh rujuk Jabatan Kaji Cuaca.

Tapi, mengapa ramalan cuaca itu tak selalunya tepat. Kadang-kadang betul dan kadang-kadang salah malah bertentangan. Seperti semalam. Diramalkan salji turun di bandar I tapi hanya hujan fros yang datang. Mengapa?

Kerana ada 2 sebab. Kerana ilmu dan kuasa manusia. Mungkin ada faktor yang mempengaruhi cuaca pada hari tersebut yang manusia terlepas pandang. Mungkin juga kesilapan manusia dalam mengambil data dan mempengaruhi bacaan. Senang kata, ilmu manusia adalah terhad.
Tolong beritahu aku manusia mana yang dapat memindahlan hujan sesuka hati dia. Sila bantu kawasan kemarau seperti Benua Afrika ataupun Jelebu. Mana dia? Tidak ada. Manusia tak ada kuasa untuk berbuat begitu. Alangkan diri sendiri tak dapat dikuasai apatah lagi alam sekitar. Hasilnya, manusia tak dapat mengawal dan menentukan cuaca. Hanya mampu meramal.

Begitu juga dengan ilmu perubatan. Mari aku bawa anda semua mengenali apa itu prognosis. Prognosis secara ringkasnya adalah kebarangkalian untuk sesuatu perkara terjadi hasil daripada perkara yang lain.

Contohnya, hanya 20% pesakit tumor kelenjar air liur dapat meneruskan hidup lebih 5 tahun jika tumor merebak ke tempat lain. Kenapa bukan 100%? Kerana ada faktor lain yang mempengaruhi. Kadang-kadang ada orang yang menghidap penyakit yang dikatakan membawa maut. Tapi, mati akibat penyakit lain yang kurang mencabar daripada penyakit awal. Nanti aku kupas perkara ini dalam entri lain, InsyaAllah.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Mari kita kembali kepada topik asal kita iaitu takdir. Allah mempunyai ilmu terhadap ciptaannya di samping berkuasa terhadap selainnya. Allah mempunyai ilmu yang yakin dan pasti. Dia tahu semua faktor yang akan mempengaruhi sesuatu perkara. Diulangi, semua faktor. Tidak seperti manusia. Mungkin setakat tahu berpuluh-puluh faktor, manakala beratus-ratus faktor lain tak diambil kira dan terlepas pandang.

Allah berkuasa terhadap setiap kejadian. Bukan sahaja faktor, malah kesan pun dikuasai. Subhanallah.

Memetik analogi dari seorang kenalan mengenai takdir. Manusia ibarat orang yang bermain game di komputer. Manakala, kesan daripada step yang dibuat sudah ditentukan oleh pencipta game. Contohnya, kalau terkena headshot dalam permainan Counter Strike, watak dalam permainan akan mati. Namun pemain bebas memilih gerakan yang dikehendaki namun tidak bebas menentukan kesan daripada gerakan tersebut. Kalau dah terkena headshot, masih hidup contohnya.

Setakat ini dahulu entri kali ini. Nantikan keluaran akan datang kalau aku rajin, Insyaallah.

p/s Maaf kalau ada kesilapan fakta. Bab takdir aku belajar 5 tahun lepas dalam subjek Tauhid. Kalau salah, tolong tunjukkan.

Kamis, 19 Februari 2009

Sedikit Cerita-Evolusi

Pada kebiasaannya, setiap batch pelajar perubatan di universiti tempat aku belajar akan menubuhkan summarizing group. Sukarelawan dalam grup tersebut kebanyakannya pelajar Arab manakala kami, pelajar Melayu hanya menumpang sahaja. Fungsi grup tersebut adalah merakam syarahan daripada doktor-doktor dan kemudiannya menyalin kembali apa yang diperkatakan oleh doktor tersebut. Mereka akan meletakkan nota tersebut di dalam laman web rasmi grup supaya dapat dimuat turun oleh pelajar lain. Bukan saja nota-nota mereka, malah slaid dan ringkasan dari doktor turut diletakkan di situ. Terima kasih buat kalian walaupun kadangkala aku mengetawakan bahasa Inggeris kalian yang melucukan(macamlah aku pandai sangat Inggeris).

Kadang-kadang mereka akan selitkan tazkirah atau dedikasi buat sahabat-sahabat mereka di ruangan akhir nota yang ditulis. Selalunya dalam bahasa Arab atau Arabiziy(Arabiy+Ingliziy=bahasa Arab yang ditulis dalam huruf latin).

Tamat kisah mengenai summarizing group. Namun, dalam banyak-banyak nota yang ada, ada satu selingan di akhir nota yang ditulis yang menarik minat aku iaitu mengenai evolusi dan Islam.

Apa katanya?

Menurutnya beruk itu berasal daripada manusia berdasarkan al-Quran seperti yang termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 65.

[2:65]
Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang-orang yang melanggar di antaramu pada h ari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".

Ayat tersebut mengisahkan kaum Nabi Musa yang melanggar larangan menangkap ikan pada hari Sabtu yang dikhususkan untuk beribadah. Maka, mereka disumpah menjadi beruk.

Menurutnya lagi, banyak pendapat ulama' tafsir mengenai ayat tersebut. Ada yang berpendapat bahawa beruk-beruk tersebut tidak hidup lama selepas disumpah dan tidak membiak dan ada juga yang berpendapat bahawa beruk tersebut hidup dan membiak. Penulis lebih cenderung dengan pendapat kedua dan berpendapat bahawa beruk-beruk yang ada adalah keturunan daripada kaum yang disumpah tersebut.

Memang secara genetiknya, DNA beruk adalah lebih kurang 90 peratus sama dengan DNA manusia. Manakala, menurut teori evolusi Darwin, manusia dan keluarga beruk berkongsi moyang yang sama. Semua ini berdasarkan DNA, bentuk tengkorak dan sebagainya.

Ada satu lagi ayat yang dibincangkan iaitu surah al-Maidah ayat 60.

[5:60]
Katakanlah: Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul.

Aku pun tak berapa jelas mengenai peristiwa di sebalik ayat tersebut, manusia yang disumpah menjadi beruk dan khinzir. Sesiapa yang ada maklumat, bolehlah tulis di ruangan komen.

Namun, menurut kajian, haiwan yang paling sesuai untuk dilakukan transplant jantung adalah khinzir kerana jantung khinzir paling mirip dengan manusia.

Sesiapa yang ada maklumat tambahan atau pembetulan untuk maklumat yang salah, aku sangat berharap agar ditulis di ruangan komen. Entri aku cumalah kupasan dari pendapat orang lain dan hanyalah sekadar pencetus idea.



Selasa, 17 Februari 2009

Jangan Main Api

Anda pernah dengar kebakaran besar berpunca dari puntung rokok, ubat nyamuk dan bunga api?
Dari nyalaan ubat nyamuk yang nampak tak merbahaya, yang tak mencabar, merebak ke langsir, dari langsir ke pintu dan dinding dan ke serata rumah.

Waktu sekolah dulu, aku ada menghadiri kursus kebakaran. Antara tidur dan jaga, aku sempat mendengar ada tiga rukun kebakaran iaitu haba, bahan bakar dan udara(oksigen). Lukis segi tiga dan letak setiap faktor pada setiap sudut segi tiga tersebut. Apabila satu sudut hilang, maka segi tiga itu pun tak wujud. Begitu juga dengan rukun kebakaran. Apabila tiada salah satu, maka kebakaran dapat dihentikan, insyaAllah.

Halang kebakaran daripada merebak dengan menghapuskan salah satu faktor tersebut. Sebelum kebakaran menjadi lebih besar dan menghalang anda daripada memadamkannya.

Sebenarnya, aku bukan nak bercerita mengenai kebakaran, perenggan di atas adalah analogi untuk ruangan muhasabah kali ini.

Aku pernah membuat kesilapan yang tidaklah sebesar mana 2 tahun lepas, namun sampai sekarang aku merasa sedikit sengsara akibat kesalahan kecil itu. Dimarah, dikutuk, diumpat, di'bahan', didenda bahkan kebebasan agak tersekat.

Siapa sangka kesilapan yang tak sebesar mana menjadi masalah besar hingga sekarang. Siapa sangka dari api kecil boleh terbakar satu hutan. Cegah sebelum merebak.

Berhati-hati dengan semua orang. Dari seorang yang tahu, tak mustahil satu negara akan tahu. Ibarat api merebak bahkan mungkin lebih pantas.

Pepatah Melayu ada mengatakan, 'Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.' Begitu juga dengan pepatah Inggeris, 'Tiada guna menangis di atas susu yang tumpah.'

Akhir kata, jangan main api.

Rabu, 11 Februari 2009

Siapa Kita?

Siapa kita?

Siapa kita? Dari mana kita? Dari mana kita sebelum kita lahir? Dari mana kita sebelum benih ibu bapa kita bercantum? Dari ovumkah kita? Dari spermakah kita? Di mana kita sebelum spermatogenesis? Di mana kita sebelum oogenesis?

Siapa kita?

Kitakah jasad kita? Di manakah kita di jasad kita? Di kepalakah, di jantungkah atau di otakkah? Bukan di rambut yang selalu dipotong, bukan di kulit yang selalu terhakis. Jasad dibentuk sel, sel dibentuk molekul, molekul dibentuk atom, atom gabungan neutron, proton dan elektron dan mungkin dibentuk jasad yang lebih kecil? Pernah ku dengar bahawa jasad adalah tenaga yang tidak bergerak. Di manakah kita sebenarnya?

Siapa kita?

Di mana kita setelah kematian kita? Tatkala hancur jasad dikandung tanah? Kitakah jasad kita?

Dari mana datangnya perasaan? Dari mana datangnya idea dan fikiran? Apa bezanya manusia dengan robot? Robot yang tak punya perasaan. Bekerja selagi masih ada tenaga, manusia bekerja selagi ada kehendak dan tenaga.

Sebenarnya kita adalah roh kita. Yang menempati jasad yang mati. Yang mungkin menggerakkan akal fikiran. Yang mungkin menggerakkan sel saraf supaya bekerja. Yang mungkin menggerakkan sel-sel Purkinje untuk mengepam darah dalam jantung.

Tanpa roh, jasad itu mati. Roh yang dibekalkan akal untuk berfikir. Dibekalkan nafsu untuk terus hidup. Akal mengawal nafsu supaya tak berlebihan.

Apa itu roh?

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja. (17:85)

p/s Misteri sungguh kehidupan ini

Keseimbangan

Keseimbangan itu secara umumnya bermaksud satu keadaan yang disenangi hasil daripada 2 daya yang bertentangan. Tak faham? Analoginya, cuba anda bayangkan jongkang-jongket. Pada setiap hujungnya diduduki objek. Tidak kiralah berat mana pun objek-objek tersebut, apabila jongkang-jongket itu tidak bergerak, itulah dipanggil keseimbangan. Menurut falsafah Yin Yang, 2 objek yang bertentangan sebenarnya saling bersangkut-paut(interdependant). Sama seperti analogi jongkang-jongket tadi, apabila objek pada salah satu hujung bertambah berat, objek yang pada hujung satu lagi perlu ditambahkan beratnya untuk mencapai keseimbangan.

Pada pemerhatian aku, ada 3 jenis keseimbangan yang berkait dengan manusia.

1. Keseimbangan secara individu

Keseimbangan jenis ini aku tafsirkan sebagai kesihatan. Mari kita berkenalan dengan homeostasis. Menurut wikipedia, homeostasis bermaksud sistem kawalan dalam badan yang mengekalkan keadaan yang stabil dan konstan. Antara sistem kawalan dalam badan adalah negative feedback iaitu suatu keadaan yang menurunkan nilai yang tertentu supaya kembali ke normal. Sebagai contoh, apabila kepekatan gula tinggi dalam badan, insulin akan dibebaskan lebih banyak untuk menurunkan gula ke paras normal. Apabila paras gula sudah rendah, insulin kurang dibebaskan, dan itulah yang dipanggil keseimbangan. Apa itu penyakit? Banyak penyakit(atau semua?) yang terjadi apabila keseimbangan terjejas. Jadi penyakit mungkin boleh ditafsirkan sebagai keseimbangan yang terjejas. Contohnya, pesakit diabetes, kurang insulin dibebaskan, maka paras gula dalam darah meningkat tanpa kawalan dan membawa kepada penyakit lain.

Mungkin ada lagi keseimbangan secara individu secara IQ, EQ dan SQ. Anda boleh kaji sendiri dan letaklah di ruangan komen kalau sudi.

2. Keseimbangan manusia dengan alam

Aku teringat kata-kata seorang sheikh tabligh setahun lepas mafhumnya,' Manusia dan alam ini adalah ibarat 2 mesin, apabila kedua-duanya berkomunikasi secara baik, maka wujudlah keseimbangan.' Kenapa hubungan manusia dengan alam yang dititikberatkan, bukan hubungan khinzir dengan alam? Kerana manusia diberi tugas sebagai khalifah di muka bumi ini, yang diberi akal untuk mentadbir bumi. Apabila keseimbangan antara manusia dan alam terjejas maka wujudlah sesuatu yang dikatakan pencemaran. Contohnya, manusia dan haiwan memerlukan oksigen dari pokok untuk hidup. Apabila manusia membakar hutan yang menjadi penyumbang oksigen, maka kehidupan manusia akan terjejas. Bukan setakat itu, karbon dioksida yang terhasil akan menyebabkan kesan rumah hijau yang menyebabkan suhu bumi meningkat dan bandar-bandar banjir akibat ais cair di kawasan kutub. Patutlah malaikat bimbang manusia menjadi khalifah(rujuk surah al-baqarah).

3. Keseimbangan manusia dengan manusia

Boleh juga disebut sebagai keharmonian. Mengenai perkara ini, aku teringat satu teori ekonomi iaitu Permintaan dan Pemasaran(Equilibrium Price). Apabila jumlah barangan meningkat dan kurang permintaan, maka harga barang akan menurun dan begitulah sebaliknya. Dan terdapat harga yang optimum pada pengeluaran dan permintaan tertentu yang dikenali sebagai harga yang seimbang(equilibrium price). Mungkin juga wujud keseimbangan dari sudut politik. Adakah perang disebabkan keseimbangan antara manusia terjejas?

p/s Aku masih tak dapat tidur. Mungkinkah kitaran melatonin aku terganggu dan aku menghidap Delayed Sleep Phase Syndrome? Aku perlu menyeimbangkan semula keadaan ini sebelum kelas bermula.

Rabu, 04 Februari 2009

Diarrhea

Aku baru sahaja pulih daripada diarrhea yang menyerang aku semenjak 2 hari lepas. Dimulakan dengan demam selama sehari dan disusuli oleh 10 kali berak sehari. Mengikut perubatan, diarrhea bermaksud berak lebih 200 gram sehari atau kepekatan air dalam tahi lebih 90 peratus(kalau tak silap). Banyak faktor yang menyebabkan diarrhea seperti radang dalam perut, bakteria dan virus.

Akibat tak tertahan dengan penyakit ini , aku ke farmasi untuk membeli ubat. Terasa malas nak ke klinik kerana klinik lebih jauh daripada farmasi. Hasilnya aku membayar 4JD(RM 20) untuk ubat-ubatan Paracetamol( ubat tahan sakit dan anti demam), Loperamide( ubat anti cirit) dan Nidazole(ubat antibiotik). Bro Abu ada bagitau aku yang diarrhea sebenarnya adalah cara untuk menyahkan bakteria atau virus dari dalam perut. Seperti yang aku baca di laman Wikipedia, menurut Evolutionary Medicine, diarrhea merupakan pertahanan badan yang berevolusi.

Sebenarnya, lebih baik ke klinik daripada farmasi secara terus sebab doktor akan mencari punca penyakit dan memberikan rawatan yang bersesuaian dengan punca dan simptom. Bak kata orang, 'Doktor yang baik merawat punca bukan simptom'. Kalau diarrhea anda disebabkan bakteria, anda akan diberi antibiotik. Kalau diarrhea anda disebabkan virus, anda cuma diberi air dan garam untuk menampung air dan garam anda yang hanyut bersama-sama najis anda.

Jadi, di sini aku ada beberapa panduan untuk mengelakkan diri daripada menghidap diarrhea:

1.Basuh tangan sebelum makan. Lebih-lebih lagi bagi yang berkuku panjang, tau-tau ada perisa tambahan pula.

2.Kalau nak makan di kedai, pilih tempat yang bersih. Ada sedikit pesanan dari pensyarah Microbiology aku. Katanya, ''A good physician doesn't eat salad from restaurant.'' Mungkin nasihat ini hanya sesuai digunakan di tanah Arab, namun berhati-hatilah.

3.Untuk makanan dalam tin, rujuk dahulu tarikh luput.

4.Kenali diri anda. Ada orang yang tak dapat menerima susu(lactose intolerance) akan tercirit selepas meminum susu.

5.Kalau ada maklumat tambahan, boleh tambah di ruangan komen

Semalam, aku berchatting dengan seorang sahabat sama sekolah yang kini belajar agama di Mesir. Beliau pernah menghidap diarrhea seperti aku dan yang lebih dahsyatnya beliau tak dapat makan selama seminggu. Mungkin disebabkan keadaan di Mesir yang tak begitu bersih dan beliau terlantar di hospital buat sementara waktu.

Apapun kebersihan sebahagian daripada iman dan kebersihan asas kesihatan(walaupun bilik aku macam baru lepas perang).

Nasib baik sakit waktu cuti......

Jumat, 12 Desember 2008

Promosi Laman Web #1

Aku masih tiada idea untuk menulis sesuatu di blog aku ini. Cuma aku ingin mempromosikan beberapa laman web yang menarik dan bermanfaat.

1.http://altafsir.com/

Laman web ini mengandungi pelbagai perkara berkaitan al-quran seperti ulum quran, ilmu qiraat dan tajwid. Anda boleh menyemak kitab-kitab tafsir secara online dari pelbagai zaman dan pelbagai aliran. Boleh didapati dalam dua bahasa iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Juga mengandungi terjemahan al-quran ke pelbagai bahasa termasuklah Bahasa Melayu. Anda juga boleh mengikuti forum bersama surfer yang lain.

2.http://nabulsi.com/

Laman web rasmi Sheikh Muhammad Ratib an-Nabulsi. Merupakan seorang pakar Bahasa Arab dan kini menjadi tenaga pengajar di sebuah universiti di Damsyik, Syria. Mengandungi ceramah-ceramah beliau dalam pelbagai ilmu pengajian Islam seperti Hadith, Tafsir dan Sirah. Apa yang menarik mengenai laman web beliau adalah kupasan mengenai ajaran Islam dari sudut sains atau nama lainnya I'jaz 'ilmiy(mukjizat saintifik). Dikatakan mempunyai pengetahuan setara dengan doktor perubatan. Juga boleh didapati dalam Bahasa Arab dan Inggeris.

3.http://www.kaheel7.com/

Laman web seorang jurutera yang bernama Abdul Daim al-Kaheel. Membincangkan kelebihan dan hikmah yang terkandung dalam ajaran al-quran dari sudut pelbagai cabang ilmu sains seperti perubatan dan astronomi. Kandungan laman web tersebut bukanlah semata-mata pseudoscience,malah beliau mengecam amalan tersebut. Buktinya beliau mengkritik pihak yang menyatakan bahawa Ka'bah adalah pusat Bumi tanpa bukti dari sains. Beliau turut menyertakan sumber penulisan beliau dari pelbagai laman web terkemuka seperti newscientist. Hanya didapati dalam Bahasa Arab dan kini beliau dalam usaha mencari penterjemah ke dalam Bahasa Inggeris.

4.http://www.unilang.org/

Laman web untuk peminat-peminat bahasa. Mengandungi forum pelbagai bahasa di dunia untuk bertukar-tukar maklumat mengenai bahasa. Anda boleh menjumpai ramai polyglot di situ.

5. http://komunititension.blogspot.com/

Blog seorang pemuda yang naif. Baru berjinak-jinak dalam dunia blogging. Setakat ini, ada empat entri yang baru diterbitkan. Masih kabur dalam perjalanan blog tetapi kelihatan cenderung menulis mengenai perubatan dan pengembaraan. Menggunakan gaya bahasa yang santai.

Setakat ini sahaja promosi laman web oleh aku. Kalau anda ingin mencari laman web yang tak bermanfaat, anda boleh menggunakan khidmat google.com atau rakan-rakan berkecimpung dalam bidang tersebut. Prinsip aku, 'buat baik biar berjemaah, buat jahat biar seorang diri'.