Senin, 30 Maret 2009

Kau Kata Kau Kuat














Kau kata kau kuat
Urat dawai tulang besi
Dengan kau tak siapa pun berani
Apatah lagi nak membuli
Tapi,apa aku peduli
Keras tangan kau tak sama kerasnya besi
Kuat mana pun kau dengan kereta kebal ada kau berani?

Kau kata kau kuat
Tunjukkan aku apa yang kau kuat
Tatkala matinya orang yang paling kau sayangi
Tatkala awek yang kau cintai tolak cinta kau ke tepi
Tatkala pengorbanan kau tak dihargai
Tatkala kau sudah usaha keras tapi markah tak tinggi
Tatkala kau miskin,lapar,perut tak terisi
Tunjukkan aku betapa kuatnya kau

Kau kata kau kuat
Tunjukkan aku apa yang kau buat
Dengan wanita yang lemah, boleh buat kau lupa
Dengan selimut yang ringan, dalam kelas kau tak ada
Dengan internet dan game, buku dan nota tak terbuka
Dengan duit yang banyak, kau dah tak ingat dunia
Dengan gurau caci maki, dah buat kau panas berapi
Tunjukkan aku betapa kuatnya kau

Kau manusia lemah
Aku pun lemah
Sama-samalah menjadi kuat
Agar lebih dicintai Yang Maha Kuat

Rabu, 25 Maret 2009

Tolong ! Kandungan Saya Hilang!

Seringkali apabila berlaku kejadian kandungan hilang, makhluk bunian dipersalahkan kerana menculik kandungan tersebut. Ada yang mendakwa kandungan tersebut dibela di alam bunian dan sesekali menjenguk keluarga asal di alam nyata. Sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut? Mari kita bongkar misteri tersebut dari segi perubatan.

Kenali apa itu pseudocyesis atau kelahiran palsu di sini dan juga molar pregnancy di sini dan di sini.














-Perut terus membesar tapi tiada bayi kelihatan. Hyperemesis gravidarum(muntah-muntah berlebihan) juga berlaku.

Mari kita lihat beberapa kes yang berlaku di laman web dan cuba kaitkan kes tersebut dengan kedua-dua perkara di atas.

Puan Z merasakan gerakan di dalam perut dari sekitar 8 pagi hingga satu petang. Katanya, ada darah keluar tapi tidak seperti darah haid, hanya sedikit. Beliau pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan tetapi doktor mengatakan bahawa kehamilan beliau adalah negatif. Beliau kembali ke rumah dan mendapati bahawa perutnya beransur-ansur kempis sehingga menjadi kempis seperti orang yang tidak hamil sekitar jam 2:30 petang.

-Gerakan yang dirasakan beliau pada perut itu adalah bukan daripada bayi malahan berpunca daripada khayalannya sahaja. Darah yang dikeluarkan itu mungkin disebabkan oleh embryo yang telah mati jika beliau menghidap molar pregnancy. Cecair yang dikeluarkan itu biasanya berwarna merah jambu. Mengapa kehamilan beliau dikatakan negatif? Biasanya dalam kedua-dua kes tersebut, ada sesetengah hormon seperti hCG meningkat sama seperti wanita yang hamil. Akan tetapi, doktor tersebut mungkin menggunakan ultrasound yang dapat memastikan kewujudan fetus dengan lebih tepat.

Doktor yang memeriksa rahim wanita terbabit biasanya akan mengatakan bahawa rahimnya sama seperti rahim perempuan yang tidak mengandung. Kalau berlaku pseudocyesis, memang tidak ada perubahan yang berlaku pada wanita tersebut kecuali perubahan hormon. Molar pregnancy pula mungkin akan berlaku perubahan pada rahim kerana embryo telah terbentuk dan menempel di rahim.

Dalam kebanyakan kes tersebut, mereka mendakwa berjumpa orang tua. Ada salah seorang daripada mereka mendakwa bahawa didatangi ''bakal anak'' dan menyusu dengannya.

-Pseudocyesis sering dikaitkan dengan tekanan mental oleh wanita yang terlalu inginkan anak. Maka, mereka berkemungkinan mengalami hypnosis. Ternampak bayangan yang hanya terhasil daripada ilusi mereka sendiri. Merasakan tendangan-tendangan 'bakal anak' ke dinding rahim. Akibat daripada tekanan perasaan tersebut, perubahan hormon berlaku hingga menyerupai wanita yang hamil. Maka terjadilah simptom-simptom kehamilan seperti terputusnya haid, loya, perubahan bentuk badan dan sebagainya.

Jadi, siapa yang patut dipersalahkan? Orang bunian atau diri sendiri? Fikir-fikirkanlah.














Nota kaki:

1. Molar pregnancy juga dikenali kehamilan anggur kerana bentuknya seperti gugusan anggur. Lebih dikenali sebagai Hydatidiform mole dalam ilmu perubatan.

2. Hydatidiform mole merupakan pundi yang berisi cecair yang membesar apabila selaput yang melitupi embryo meluput pada awal kehamilan. Pundi-pundi tersebut menyebabkan placenta menjadi seperti gugusan anggur. Apabila embryo mati, rahim pun membesar, dan cecair berwarna merah jambu bersama pundi-pundi akan dikeluarkan melalui faraj. Keadaan ini boleh mengakibatkan kanser.

Kamis, 19 Maret 2009

Jantung Terhenti, Cinta Tak Mati













Jantung terhenti
Jasad pun mati
Cinta masih terabadi
Dalam setiap denyutan nadi

Minggu, 15 Maret 2009

Isu PPSMI

Sana-sini bercakap tentang PPSMI.

Ada yang menyokong, ada yang menentang.

Tak kurang juga yang tak peduli.

Ada yang berdemo, ada yang berbalah.

Ahli-ahli bahasa dan sastera kebanyakannya menentang.

Budak-budak sekolah ada yang setuju, ada yang membantah.

Sama juga dengan guru-guru.

Izinkan hamba menulis mengenai perkara ini dari kaca mata generasi kedua terakhir yang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda kita.

Isu martabat.

Setelah 4 tahun meninggalkan alam persekolahan, selama tempoh itulah kami meninggalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Buku rujukan dalam Inggeris, nota-nota pun dalam Inggeris dan kuliah pun dalam bahasa Inggeris. Ada di antara kami yang apabila mendengar istilah sains dalam bahasa Melayu, aruhan elektromagnet misalnya, akan terasa unsur humor. Terasa janggal dan asing ketika mendengarnya. Dan banyak istilah sains dalam bahasa Melayu yang kami lupakan. Perkumuhan dianggap berkumur dan banyak lagi contoh yang sadis. Alangkan kami yang belajar dalam Melayu pun begini, apatah lagi adinda-adinda kami yang belajar Sains dan Matematik dengan lidah bekas penjajah itu.

Tatkala bonda hamba mengirim bungkusan dari tanah air, yang ada di antara kandungan bungkusan itu adalah majalah esti dot com, teman-teman hamba kebanyakan teruja. Umpama hamba membawa bekalan makanan ke gurun-gurun di Sudan. Bagi sesiapa yang tidak tahu, majalah esti dot com itu adalah majalah saintifik yang menggunakan bahasa Melayu. Majalah percuma dan gratis sisipan akhbar Utusan Melayu. Cukup teruja hinggakan hamba tak tahu di mana letaknya majalah tersebut kini.

Lantas, hamba terfikir, kalaulah pihak media memperbanyakkan majalah seperti ini, insyaAllah kami akan menyokong. Alangkah moleknya kalau jurnal-jurnal diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Mungkin lebih hangat daripada kisah-kisah mistik dan gosip majalah-majalah tempatan yang lain. Ya, di kuliah belajar dalam Inggeris di rumah membaca dalam Melayu. Dua-dua berhasil.

Hamba pun terfikir lagi, adakah dengan hanya 2 subjek yang ditukar ke dalam Inggeris mampu menurunkan martabat bahasa Melayu? Bagaimana dengan generasi kami ini?

Isu kefahaman.

Ada yang beralasan, ''Hamba pelajar luar bandar yang naif dan jahil dalam bahasa Inggeris. Lainlah pelajar bukan Melayu. Mereka amat fasih dalam bahasa Tamil, eh, bahasa Inggeris.''

Dan 1001 alasan lain. Yang menjadi alasan kedua yang datang selepas isu martabatkan bahasa Melayu.

Ada di antara teman-teman hamba yang datang dari sekolah kebangsaan aliran Melayu dan menadah ilmu di sekolah menengah aliran Arab. Mereka diletakkan dalam kelas peralihan selama setahun untuk memantapkan bahasa Arab bagi melancarkan pengajian subjek-subjek agama dalam bahasa Arab. Dan mereka berjaya walaupun kebanyakan mereka lebih tua daripada hamba. Tapi tak mengapa. Biar lambat,asal pandai.

Jangan jadikan alasan tinggal di luar bandar sebagai penghalang kepada tuan hamba untuk mempelajari bahasa Inggeris. Sedangkan orang asli pun boleh berbahasa Inggeris dengan lancar. Orang-orang lama yang tinggal di kampung waktu zaman tiada televisyen pasca merdeka pun boleh membaca novel Inggeris. Tak perlu pun fasih seperti orang putih, asalkan tuan hamba boleh faham dan itu memadai.

Waktu hamba mula-mula menjejak ke alam universiti, hamba berasa sedikit sukar. Membiasakan diri dengan bahasa pengantar Inggeris berbanding Melayu ketika bersekolah dahulu. Kadang-kadang hamba kurang jelas dan kurang faham dengan syarahan doktor-doktor yang menggunakan bahasa Inggeris lahjah tempatan. Ketika mengulangkaji pelajaran, hamba lebih banyak menyelak kamus berbanding menyelak buku pelajaran. Dan kini hamba sudah dapat membiasakan diri walaupun bahasa Inggeris hamba tak semantap mana. Hamba tak mahu adinda-adinda sekalian melalui zaman kesukaran seperti hamba.

Bahasa Inggeris kini menjadi bahasa utama dunia. Dan ambillah peluang memantapkan bahasa mereka untuk menceduk ilmu-ilmu dari mereka. Untuk memantapkan bangsa dan agama kita. Dalam waktu yang sama, kita tak lupa untuk memartabatkan dan mencintai bahasa ibunda kita. Pesan Tun Dr Mahathir, ''Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa''. Lepas ini, jangan katakan hamba ini penjilat jubur kerajaan. Hamba memandang dari sudut neutral.

Teringat pesan orang tua dari Tanah Arab, ''Sesiapa yang belajar bahasa sesuatu kaum, maka terselamatlah dari kejahatan mereka''.

Jumat, 13 Maret 2009

Objektif dan Subjektif

Lawa atau tak lawa itu subjektif. Atau disebut orang sebagai relatif. Bergantung kepada orang. Tiada kayu ukur tertentu dalam hal ini. Dan bagi aku tiada masalah. Manusia ada citarasa yang tersendiri dan berbeza. Itulah uniknya manusia. Kita tak boleh mempersoalkan dan mempertikaikan citarasa orang lain. Lagipun, kecantikan itu hanyalah setebal kulit.

Tiada masalah dalam hal ini.

Dari sudut etika dan ideologi, manusia sering berubah-ubah. Menyesuaikan mengikut keadaan. Berusaha mencari dan mencipta sistem terbaik. Namun, sistem yang terbaik yang cuba diusahakan oleh mereka tetap melalui proses perubahan. Tertakluk pada masa dan tempat. Agak relatif. Dan menjadi masalah di sini kerana tiada indikator yang menentukan baik buruknya.

Teringat apa yang diajar di sekolah dahulu dalam subjek Mantiq mengenai golongan sofastakyun. Bagi mereka, apa yang baik adalah apa yang mereka rasakan baik dan begitulah sebaliknya. Indikator mereka adalah akal mereka yang tentunya berbeza dengan orang lain.

Maka, wujudlah masalah dari segi penerimaan.

Pok Re ada berkongsi sedikit ilmu dalam perjumpaan tadi. Walaupun aku tak berjumpa beliau tadi, aku dapat merasa tempias ilmu. Melalui orang tengah.

Beliau membincangkan mengenai keistimewaan akidah berbanding ideologi. Ada 2 keistimewaan menurutnya. Akidah memang dijamin betul kerana merupakan wahyu dari Allah berbanding ideologi yang berdasarkan pemikiran manusia yang sering terdedah kepada kesilapan. Akidah sesuai untuk sepanjang zaman manakala ideologi tertakluk pelaksanaannya pada masa dan tempat tertentu.

Ambil saja contoh. Aku ada terbaca bahawa komunisme hanya menguntungkan ketika baru tertubuhnya sesebuah negara dan akan merugikan apabila masa berlalu. Undang-undang Islam pula sesuai sepanjang zaman. Jadi, tidak timbul soal tentang primitif atau tidak undang-undang Islam. Yang penting anda mengkaji dan memahami tentang Islam. Bak kata Pok Heng, ''Sebelum bercakap atau mengkritik sesuatu, kita kena mengkaji dahulu mengenainya.''

Hal ini adalah objektif. Setiap yang objektif ada indikatornya sendiri. Indikatornya adalah al-Quran dan Sunnah. Pok Re ada menyebut, ''Semuanya kembali kepada al-Quran dan akal itu fungsinya untuk melengkapinya(memahami).''

Tak salah menggunakan akal. Sahabat aku yang salafi pun dapat menerima penggunaan akal. Namun, ada batasan. Katanya, ''Ilmu ghaib itu hanya didapati melalui wahyu sahaja, manakala ilmu syahadah(nyata) didapati dari wahyu dan akal.''

Persoalannya, apakah klasifikasi untuk objektif dan subjektif? Fikir-fikirkanlah.


Malam yang gelap
Tampak sungguh indah
Dihiasi senyuman rembulan
Dan renungan bintang
Yang mengasyikkan

Siang yang cerah
Kadangkala sakitnya mata
Dek panahan mentari
Yang menyilau

Suramnya mendung
Membawa khabar gembira
Rahmat turun
Datang mencurah
Pelangi ceria
Datang menyusul

Minggu, 08 Maret 2009

Tuhan Yang Gagal?

Adakah petanda Tuhan itu gagal dengan kelahiran bayi-bayi cacat? Adakah petanda Tuhan itu gagal dengan berlakunya bencana alam di merata-rata tempat? Adakah petanda Tuhan itu gagal dengan berleluasanya penyakit yang merbahaya?

Marilah kita bersama-sama mentadabbur. Carilah hikmah di sebalik kepayahan.

Kebanyakan penemuan dalam perubatan berlaku di sebalik penyakit. Fungsi sesuatu enzim dalam badan misalnya diketahui apabila ia tiada. Peranan setiap lokus dalam kromosum dikesan melalui kajian terhadap penyakit. Dan begitu juga dengan ilmu-ilmu lain. Sesuatu itu diketahui peranannya apabila ia tiada. Penyakit mengajar manusia untuk menghargai apa yang dikurniakan oleh Tuhan.

Mari kita buat perbandingan.

Adakah guru itu dianggap bodoh kerana bertanya dengan murid dalam peperiksaan? Kalau guru itu lebih bijak, mengapa dia perlu bertanya kepada muridnya? Mengapa tidak dia menjawab sendiri?

Guru menyoal anak muridnya kerana untuk menguji, bukan kerana dia tidak tahu. Dan dia tidak dianggap gagal jika dia tak dapat menjawab soalan yang sepatutnya dijawab oleh muridnya. Murid yang gagal adalah mereka yang tak menjawab soalan atau mereka yang memberikan jawapan yang salah.

Ketahuilah hidup ini adalah ujian. Jawablah setiap 'soalan' dengan sabar dan usaha. Tak lupa juga berdoa. Tuhan menguji hambanya untuk membezakan tahap ketakwaan mereka.

Buat mereka yang ....................(isi sendiri mengikut kesesuaian)

Dunia adalah medan kesusahan. Dan anda harus menerimanya. Semua orang dikenakan ujian bersesuaian dengan potensi mereka.

Anda sebenarnya yang gagal jika mengatakan Tuhan itu gagal.

Sabtu, 07 Maret 2009

Tadabburlah dan Janganlah Menduburkan

Sedang aku melepak-lepak keriangan tiba-tiba datang satu e-mail. Dari Encik Kaheel rupanya. Tentang mukjizat angka dalam al-Quran. Agak menarik kerana aku pernah berbahas dengan Abang Botak mengenai hal ini. Anda boleh lihat di sini.

Dulu aku beranggapan bahawa perkara ini hanyalah kebetulan. Sekarang tak tahulah. Tapi, sekurang-kurangnya baguslah usaha mereka. Mentadabbur atau menelaah al-Quran dengan begitu terperinci. Tak cukup dihafal malah setiap huruf dibilang satu-satu.

Bagi golongan huffaz dan qari, sudi-sudilah mentadabbur al-Quran, bukan sekadar dibaca untuk jadi imam tarawih atau di pertandingan musabaqah al-Quran. Bagi golongan yang tak hafiz pula(macam aku), rajin-rajinlah mentadabbur al-Quran dan cuba-cubalah menghafalnya.

[47:24]
(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

Nota:
-Perkataan 'menduburkan' pada tajuk itu adalah terjemahan bulat-bulat dari perkataan mudbir. Berasal dari kata akar 'dabara'. Perkataan yang seerti dengannya adalah 'membelakangkan'. Dan memang dubur itu di belakang. Harap maklum dan tak salah faham.

Sekian.


Jumat, 06 Maret 2009

Lelaki Tua dari al-Quds

''Aku sampai sekarang tak tahu ayah dan mak aku masih hidup atau tidak,'' kata Pak Cik Mamduh.

Dia masih ingat. Ketika ''Perang 6 Hari'' berlaku pada 1967, dia berada di Kuwait. Berhijrah mencari rezeki di tempat yang lebih aman berbanding al-Quds, tanah kelahirannya. Saat al-Quds kucar-kacir atau kuca-lana dalam dialek Kelantannya, keluarganya masih berada di sana. Tentera Israel bertempur dengan tentera dari beberapa buah negara Arab. Cukup membimbangkannya. Hatinya meronta-ronta ingin kembali ke bumi yang dicintainya itu. Biarlah dia mati mempertahankan tanah milik bangsanya dan umat Islam, daripada menyorok takutkan peluru musuh. Bak kata penyair,''Hidup biar bermaruah atau mati syahid''. Namun, keadaan tidak mengizinkan.

Lantas, dia mengambil keputusan berhijrah ke Mesir. Ramai saudara-maranya tinggal di sana. Sekurang-kurangnya dapat mengubat kerinduan terhadap keluarga sendiri. Hari berganti hari. Dia membuat keputusan untuk berkelana seorang diri di Jordan. Lebih dekat dengan al-Quds, negeri kelahirannya. Hanya berjarak 40km sahaja. Dari Gunung Nebo yang menjadi tempat suci orang Kristian, al-Aqsa dapat dilihat.

Kini, dia sudah tua. Namun, masih tidak tahu ibu bapanya masih hidup atau tidak. Menurut kajian, purata usia kematian penduduk Jordan adalah 70 tahun. Dia kini berusia 60 tahun dan ibu bapanya menjejak usia 90 tahun barangkali. Walau apapun, dia tak lupa untuk mendoakan kesejahteraan mereka, hidup ataupun mati.

Dia kini menghabiskan sisa-sisa hidup di utara Jordan. Tak keluar pun ke tempat lain. Hanya berulang-alik dari rumah ke masjid saja yang menjadi rutin hidupnya. Dia tiada anak. Kasih sayang dan luahan perasaannya sering dicurahkan kepada pelajar-pelajar berbangsa Melayu di situ, dari Malaysia dan juga Patani.

''Kau tahu Sheikh Nabulsi cakap apa hari ini?''

Ayat itu seringkali diulang-ulang. Mujur ada seorang anak Melayu yang rajin mendengar dan berbual dengannya biarpun terpaksa berdiri menunggunya habis bercakap biarpun terpaksa menahan sejuk hembusan angin dingin. Kadangkala sehingga setengah jam dia bercakap.

Dia memang meminati Sheikh Muhammad Ratib an-Nabulsi, ulama yang tinggal di Dimashq itu. Setiap minggu, dia mendengar syarahan ulama itu dalam rancangan radio channel ''Shout Dimashq''. Baginya, sheikh itu seorang yang hebat. Selain mendapat Phd dalam Bahasa Arab, beliau juga mempunyai pengetahuan sains yang luas. Rajin membaca dan bertanya, barangkali. ''Pengetahuan yang seluas dan sedalam laut,'' katanya.

Kadang-kadang, beliau bercerita tentang sejarah Arab dan Islam kepada kawan baiknya itu. Sejarah Uthmaniyyah mahupun sejarah al-Quds dikongsikan juga. Biarlah orang 'ajam yang mengenang dan menghargai sejarah bangsanya. Sekurang-kurangnya dinilai dari sudut Islam bukan dari Nasionalisme Arab.

Waktu Ghaza diserang, hatinya tambah pedih. Remuk dan berkecai. Zalim sungguh tentera Yahudi yang membantai penduduk Ghaza. Namun, lebih zalim lagi saudara-saudara mereka yang membiarkan bahkan membantu musuh mereka menzalimi saudara sendiri. Tak mungkin tubuh tuanya berkudrat mengangkat senjata. Hanya doa yang dititip buat mereka dan boikot untuk melemahkan musuh.

Dia begitu rindu dengan al-Quds. Dia sentiasa berharap agar dapat kembali ke al-Quds. Melihat tanah kelahirannya dikuasai oleh umat Islam. Harapannya tak pernah putus.

Yerushalayim shel zahav. Al-Quds bumi emas menurut lirik lagu Ofra Haza.

Tamat.

p/s Maaf kalau membosankan.